Khamis, 5 Oktober 2017 | 11:57am
PROGRAM MURNI anjuran BWCA membantu wanita meningkatkan kesedaran pencegahan awal kanser payudara termasuk di luar bandar.
PROGRAM MURNI anjuran BWCA membantu wanita meningkatkan kesedaran pencegahan awal kanser payudara termasuk di luar bandar.

3 pendekatan bantu wanita kanser payudara

KUALA LUMPUR: Program Unit Bergerak Membawa Maklumat ke Seluruh Negara (MURNI) di bawah Persatuan Kebajikan Kanser Payudara (BCWA) agresif membantu mengurangkan kadar kematian awal penghidap kanser payudara, sejak 2011.

Menerusi pelbagai program dirancang dan dilaksanakan MURNI di seluruh negara ia turut membantu meningkatkan kesedaran pada penghidap, keluarga dan masyarakat mengenai kepentingan menjaga kesihatan.

Statistik mendapati, satu daripada 20 wanita berisiko menghidap kanser payu dara.

Presiden BCWA, Ranjit Kaur, berkata mengikut statistik satu daripada 20 wanita berisiko menghidap kanser payudara.

Katanya, justeru MURNI diwujudkan bertujuan memperkasakan kesihatan wanita termasuk di kawasan luar bandar menerusi unit bergerak bagi membantu mereka melakukan pengesanan awal kanser payudara.

Katanya, unit bergerak itu dilengkapi dengan alat pengesanan awal dan sokongan dikendalikan oleh jururawat dan bekas penghidap kanser payudara terlatih.

"Pemeriksaan awal boleh membantu mengesan sebarang risiko kansser. Oleh itu, semua wanita perlu jadikan amalan pemeriksaan secara berkala bagi tujuan itu," katanya dihubungi BH, di sini, semalam.


Presiden BCWA, Ranjit Kaur. - Foto Rohanis Shukri

Guna tiga pendekatan

Beliau berkata, program MURNI mempunyai tiga pendekatan termasuk program pengesanan awal, program sokongan dan latihan bagi membantu wanita berdepan dengan kanser itu.

Program pengesanan awal membabitkan jururawat BCWA melakukan pemeriksaan payudara klinikal mengajar cara melakukan pemeriksaan payudara sendiri setiap bulan.

Wanita dinasihatkan ke hospital untuk pemeriksaan selanjutnya.

"Program sokongan membolehkan bekas penghidap kanser payudara terlatih memberi sokongan emosi, sosial dan maklumat mengenai cara urus diri ketika rawatan kanser payudara.

"Pelbagai maklumat, ceramah, berkongsi cerita dengan bekas dan penghidap kanser payudara dan aktiviti berkaitan disediakan, selain mendedahkan kepentingan pengesanan awal, rawatan perubatan kanser payudara," katanya.

Penghidap berani hadapi

Ranjit berkata, ada wanita yang tidak berani membuat pemeriksaan payudara kerana enggan menerima kenyataan selepas disahkan

menghidap penyakit itu.

Justeru, menjadi tugas Pasukan Jururawat Community Outreach tampil memberi khidmat nasihat, membimbing wanita menjalani pemeriksaan klinikal payudara dan sendiri setiap bulan.

"Wanita perlu diberi pendedahan kepentingan rawatan perubatan pada peringkat awal kanser payudara.

"Kesedaran awal banyak faedah termasuk boleh menyelamatkan risiko penyakit itu menerusi teknologi perubatan," katanya.

Jalinkan kerjasama dengan agensi

Ranjit, berkata bagi meningkatkan kesedaran berkaitannya BCWA turut diterima daripada pelbagai pihak agensi kerajaan seperti Kementerian Kesihatan dan organisasi swasta.

"Antara sektor swasta terbabit adalah perkilangan, syarikat, pusat beli belah, organisasi kampung, FELDA serta badan bukan kerajaan (NGO).

"BCWA akan sentiasa komited memberi bimbingan dan galakan untuk memperkasakan wanita bagi mengamalkan gaya hidup sentiasa peka kepada kesihatan payu dara," katanya.

Info
Mengenai MURNI

  • Ditubuhkan pada 2011
  • Sokongan jururawat terlatih dan peralatan khusus
  • Pemeriksaan payudara secara percuma

331 dibaca
Berita Harian X