Rabu, 10 Oktober 2018 | 12:13pm
REKAAN busana Ratu Cantik Miss Grand Malaysia 2018 menyuntik elemen keberanian burung kenyalang menerusi sulaman dan pemilihan manik yang menyerlahkan lagi identiti budaya Sarawak.

Busana serlah identiti Sarawak ke pentas dunia

KUALA LUMPUR: Burung kenyalang yang menjadi kebanggaan penduduk Sarawak diterjemahkan dalam bentuk busana bakal diperagakan di pentas akhir pertandingan Miss Grand International 2018, di Yangon, Myanmar, hujung bulan ini.

Gaun petang ciptaan pereka fesyen, Paul Carling bertemakan Tebengang The Great itu akan digayakan oleh wakil Miss Grand Malaysia, Debra Jeanne Poh, 23.

Busana terbabit yang menerapkan elemen rekaan burung kenyalang yang menjadi kebanggaan masyarakat Sarawak kerana simbolik keberanian dan kegagahannya.

Pemilihan motif burung itu sebagai tema rekaan sejajar dengan tema Miss Grand International, iaitu menghentikan peperangan dan keganasan.

Selain tema rekaan, pelbagai teknik digunakan bagi menyerlahkan identiti busana kebangsaan yang bakal dipertaruhkan antaranya kaedah sulaman tradisional memberi ilham mencipta motif cengkerang.


REKAAN busana Ratu Cantik Miss Grand Malaysia 2018 menyuntik elemen keberanian burung kenyalang menerusi sulaman dan pemilihan manik yang menyerlahkan lagi identiti budaya Sarawak.

Seiringan itu, penggunaan manik tradisional dan loceng tembaga pula mewakili tradisi kebudayaan dibawa penduduk setempat sejak zaman dahulu.

Cipta sejarah tersendiri

Dalam satu kenyataan dikeluarkan baru-baru ini berkaitannya, menegaskan fesyen busana mahu menyemai semangat Malaysia Baharu, melalui perubahan pendirian politik di negara ini, dengan memasukkan elemen bunga raya pada rekaan busana berkenaan.

Penggunaan perisai dan tombak juga ditonjolkan sebagai peralatan untuk melindungi pahlawan ketika pertempuran, sekali gus simbolik kepada kepemimpinan Malaysia Baharu ke tahap yang lebih tinggi dan berjaya.

Sebelum ini Debra mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi gadis pertama dari Wilayah Persekutuan Labuan dimahkotakan sebagai Ratu Cantik Miss Grand Malaysia 2018.

79 peserta dari seluruh dunia

Graduan kejuruteraan itu berjaya mengubah dirinya daripada seorang yang lasak dalam seni mempertahankan diri Kickboxing kepada peragawati apabila menewaskan 24 peserta finalis Miss Grand Malaysia 2018 yang diadakan di ibu kota, baru-baru ini.

Dengan anugerah itu, Debra yang berdarah campuran Sino-Dusun, Filipina dan Sepanyol mewakili Malaysia untuk bertanding dengan 79 peserta dari seluruh dunia.

Juara akan mendapat wang tunai RM165,880 dan menetap selama setahun di kondominium mewah bertaraf enam bintang di Bangkok, Thailand.

Pertandingan ketiga terbesar dunia itu bermula pada 5 Oktober lalu dengan peserta perlu terbabit dalam pelbagai program. Majlis penganugerahan itu diadakan pada 25 Oktober ini.

Info

• Miss Grand International 2018

• Tema rekaan busana kebangsaan yang akan digayakan wakil Miss Grand Malaysia adalah Tebengang the Great

• Tebengang atau burung kenyalang kebanggaan masyarakat Sarawak kerana simbolik keberanian dan kegagahannya

292 dibaca
Berita Harian X