Khamis, 27 September 2018 | 10:40am
PERAGAWAN meperagakan busana karya Razman Razmi dan makeup tajaan produk Alha Alfa kosmetik bertemakan infiniti. - Foto Rosela Ismail

ABPBH 31 ruang pereka berkarya

KUALA LUMPUR: Suatu ketika dulu jarang individu berani memperagakan fesyen secara keterlaluan kerana menganggap tidak sesuai dengan tema majlis atau bimbang ia mencetuskan kritikan daripada nitizen.

Namun, bagi pereka fesyen duo, Razman Razmi tema Infiniti sempena Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-31, memberikan pengertian berbeza sekali gus memberikan ruang mereka berkarya dengan lebih kreatif.

Gandingan nama tidak asing, Razman Din dan Razmi Rahman menterjemahkan tema itu dalam pertunjukan fesyen sempena #FANtastik Santai Bersama Kelab Peminat Artis dan Pengumuman Malam Prakemuncak ABPBH, baru-baru ini.

ABPBH 31, akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), pada 7 Oktober depan.

Tampil spektikal dengan dominasi rona hitam, mereka berpendapat warna itu menyerlahkan figura tubuh dengan perincian ringkas dan aksesori sebagai pelengkap gaya, memberikan definisi tepat perkataan Infiniti.

Razman berkata, beliau menerapkan kepakarannya menghasilkan kostum untuk diilhamkan mengikut tema Infiniti yang membawa pengertian tidak batas dalam apa juga rekaan atau persalinan.

“Infiniti ini melambangkan cetusan gaya tanpa batasan untuk dilihat dalam apa sahaja pakaian termasuk gaun yang acap kali menjadi pilihan untuk sesuatu majlis.

“Sebagai pereka fesyen kita menggunakan kreativiti untuk menyelitkan aksesori supaya rekaan menjadi lain daripada yang biasa disaksikan di karpet merah atau acara fesyen lain,” katanya yang diberi tanggungjawab menghasilkan enam persalinan untuk pertunjukan fesyen mereka.

Misalnya, gaun petang rona hitam diberikan potongan labuh dengan bahagian bahu beropol tinggi menyerlahkan tubuh lebih langsing, cukup sempurna dan tampak anggun tanpa perincian sarat lain.


PERAGAWAN meperagakan busana karya Razman Razmi dan makeup tajaan produk Alha Alfa kosmetik bertemakan infiniti. - Foto Rosela Ismail

Persalinan lelaki pula tampak santai dengan rona merah tua, kuning, hitam dengan penggunaan aksesori melengkapkan gaya, persis seorang pahlawan yang lengkap menggayakan mahkota di kepalanya.

Tidak hanya menumpukan warna gelap, rona hijau lembut menyerlahkan sisi feminin dan ala puteri, dengan aksesori ringkas di bahagian bahu, melengkapkan gaun petang yang tampak polos.

Razman berkata, rekaan berunsurkan Infiniti lebih terarah kepada penghasilan kostum yang banyak dihasilkan untuk persembahan teater

Mereka yang berkecimpung lebih 18 tahun dalam rekaan fesyen, diberikan tugasan itu tidak mengambil masa yang lama memikirkan konsep rekaan bercirikan Infiniti.

“Kami mengambil masa empat lima hari untuk menyiapkan enam persalinan ini dan berharap tema Infiniti akan diikuti semua orang pada acara kemuncak nanti.

“Nanti barulah acara nanti tidak nampak pelik apabila semua berusaha memenuhi tema yang dibawakan tahun ini,” katanya.

Tema Infiniti sebagai perlambangan keutuhan BH dalam era revolusi digital, di samping menghangatkan tiga dekad penganjuran acara berprestij anugerah pilihan peminat dengan pengisian mantap.

876 dibaca
Berita Harian X