Jumaat, 21 September 2018 | 12:53pm
FARAH menunjukkan produk batik dengan teknik tekap di gerainya pada program HIMPUN, KLIA. - NSTP/Mohd Khairul Helmy Mohd Din
ORANG ramai melihat produk dijual pada program HIMPUN PKS. - NSTP/Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Produk PKS di KLIA mulai tahun depan

KUALA LUMPUR: Lebih 60 usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berpeluang memasarkan pelbagai produk dalam satu kedai khas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), mulai tahun depan.

Pengarah Urusan Perkhidmatan Komersial, Malaysia Airport, Hani Ezra Hussin, berkata ketika ini semua produk daripada jenama mewah sahaja dijual di KLIA.

Katanya, dengan adanya usaha itu, pelbagai jenama tempatan termasuk fesyen, kraf, penjagaan kulit dan wajah, wangian dan makanan akan dikumpulkan di bawah satu kedai khas.

“Ini memberi peluang pengusaha industri desa dan PKS memperkenalkan produk masing-masing di pintu masuk utama negara itu tanpa dibebani dengan kos sewa yang tinggi.

“Kami bercadang mewujudkan butik itu di lapangan terbang utama di seluruh negara. Jika pembukaannya mendapat maklum balas positif, kami bercadang menambah cawangan di lapangan terbang yang ramai dikunjungi pelancong seperti di Langkawi dan Pulau Pinang.

“Usaha ini akan dijalankan dengan kerjasama Pusat Pembangunan Rekaan Malaysia (DDEC) yang akan memberi nasihat mengenai pembungkusan produk supaya sesuai dengan keperluan pelancong,” katanya.


HANI Ezra bersama pengasas produk tempatan pada program HIMPUN anjuran DDEC yang diadakan di KLIA sejak 6September lalu. - NSTP/Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program HIMPUN yang mempromosikan produk tempatan, di Dewan Pelepasan, KLIA.

Menerusi program HIMPUN, 11 usahawan memasarkan produk mereka sejak 6 September hingga hujung bulan ini, bertujuan memperkenalkan barangan buatan tempatan ke mata dunia.

Pengurus Kanan Jabatan Perniagaan dan Pengkomersialan DDEC, Hairul Azrien Baharudin, berkata HIMPUN menerima sambutan menggalakkan daripada pelancong asing dan tempatan sendiri.

“Kita menyasarkan RM100,000 jualan sepanjang program ini dan berharap ia menjadi landasan untuk pengusaha tempatan menembusi pasaran antarabangsa.

“Daripada 60 usahawan, kita hanya memilih 20 jenama sahaja berasaskan keunikan produk,” katanya.

Katanya, DDEC mengalu-alukan kerjasama pihak luar, terutama agensi kerajaan yang menyediakan dana bagi membantu meningkat dan menambah baik serta peluang peniaga dalam pelbagai segi.

Pengasas Bersama Saarat yang menyertai HIMPUN, Farah Wagimin, berkata usaha memperkenalkan produk tempatan itu memberi peluang kepada pengusaha PKS memperkenalkan barangan kepada pelancong.

“Kebanyakan pengusaha produk atau fesyen tempatan tidak mempunyai modal yang besar menyewa kedai di KLIA kerana harganya yang mahal.

“Usaha DDEC dan Malaysia Air-port perlu diteruskan demi kelangsungan produk tempatan dan pengusaha sendiri untuk berada dalam industri bertaraf antarabangsa,” katanya.

Saarat diusahakan bersama pengasasnya dikenali dengan nama Zauyah @ Zee, menawarkan jaket batik dengan teknik tekap yang boleh dipakai dengan empat gaya berbeza dan versatil untuk majlis kasual.

333 dibaca
Berita Harian X