Isnin, 10 September 2018 | 1:14pm
DIAN bersama empat orang model yang memperaga koleksi rekaan beliau yang berinspirasikan 'Tangga Batu' rumah tradisional Melaka.

Busana unik inspirasi tangga batu, anyaman mengkuang

KUALA LUMPUR: Elemen jubin tangga batu berwarna-warni seakan bentuk A di kebanyakan rumah tradisional Melayu Melaka memberi inspirasi pereka fesyen menghasilkan rekaan busana unik.

Busana rekaan pelajar tahun akhir Seni Reka Fesyen, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Mardiana Jamaludin itu antara 37 koleksi unik dipersembahkan pada pertunjukan fesyen, di Panggung Sari Kraftangan Malaysia, Jalan Conlay, baru-baru ini.

Keunikan tangga bantu dipengaruhi budaya dari negara China, Belanda dan Jepun yang menjadi simbol metafora ucapan ‘Selamat Datang’ kepada tetamu diterjemahkan untuk empat rekaan busana wanita.


KEUNIKAN tangga batu rumah tradisional Melaka tarik perhatian Dian untuk cipta kelainan dalam koleksi 'Tangga Melaka'.

Mardiana, 23, berkata, beliau menggunakan elemen ‘quilting embroidary’ pada fabrik untuk memaparkan keunikan elemen jubin pada tangga batu rumah tradisional Melaka.

Katanya , beliau membuat penyelidikan, merujuk buku sejarah pembinaan rumah dan menemubual pemilik rumah tradisional Melaka untuk memudahkannya menterjemahkan dalam rekaan berkenaan.

“Bapa berasal dari Melaka turut membantu saya mengumpul maklumat yang diperlukan bagi penghasilan koleksi pakaian wanita berkenaan.

“Saya menggunakan teknik potong dan menyambung fabrik pelbagai corak termasuk bunga bagi menunjukkan elemen jubin di tangga rumah tradisional Melayu Melaka pada gaun dan blaus.

“Bentuk tangga mengembang dari atas ke bawah, saya gunakan bentuk silhouette yang diaplikasi di dalam rekaan pakaian berbentuk A-line,” katanya.


ELEINA Azmi atau El bersama dengan model-model yang memperaga helaian koleksi beliau yang bertemakan 'Anyaman Mengkuang'.

Inspirasi daun mengkuang

Pelajar kursus dan tahun sama, Eleina Azmi, pula memilih teknik anyaman mengkuang sebagai ilham menghasilkan rekaan uniknya.

Beliau berkata tekstur dan komposisi yang terhasil daripada daun mengkuang yang dianyam melalui satu proses penyatuan anyaman yang sangat kompleks.

“Saya menggunakan bentuk silhouette yang ringkas yang berkonsepkan ‘clean cut looks’ dan maskulin. Penggunaan dan memanipulasi kain belang dan jalinan garisan digunakan untuk menonjolkan elemen jalur seakan anyaman mengkuang.

“Dalam koleksi ini, saya menganyam beberapa bahagian baju menggunakan kain kapas sebagai bahan anyaman.


KUALA LUMPUR 06 SEPTEMBER 2018. Koleksi 'Anyaman Mengkuang' oleh El memerlukan kos yang agak tinggi dan mengambil masa yang lebih panjang untuk disiapkan kerana kerumitan anyaman untuk setiap koleksi.

“Saya memilih warna putih mutiara di bahagian anyaman untuk setiap helaian koleksi supaya menyerlahkan anyaman,” katanya.

Eleina berkata, koleksi ini memerlukan kos yang agak tinggi kerana ia menggunakan pelbagai jenis kain dan masa panjang kerana proses anyaman yang begitu rumit.

“Saya berharap berpeluang mengadakan pertunjukan fesyen dengan jenama sendiri dan rekaan mampu menembusi pasaran global, pada masa depan” katanya.

271 dibaca
Berita Harian X