Ahad, 9 September 2018 | 7:26pm
TUANKU Zara Salim menyampaikan replika check kepada Kamaliah Ismail (enam dari kiri) bersama anaknya Khalida Liyana Khalid (empat dari kiri) dan Ihsan Khalid (lima dari kiri) selepas menjadi juara kategori fesyen dengan membawa pulang RM30000 dan trofi pada Majlis Piala Seri Endon 2018 di Kuala Lumpur Convention Centre, Kuala Lumpur. Turut bersama bersama, Pengerusi Yayasan Budi Penyayang Malaysia, Nori Tun Abdullah (kanan). - Foto Syarafiq Abd Samad

3 beranak menjuarai Piala Seri Endon

KUALA LUMPUR: Percubaan pertama tiga beranak menyertai pertandingan rekaan batik Piala Seri Endon (PSE) 2018 berbaloi apabila dinobatkan juara kategori fesyen dan membawa pulang RM30,000 serta piala.

Ibu kepada lima anak, Kamaliah Ismail, 61, bersama anak ketiganya, yang juga menghidap Autisme, Ihsan Khalid; 31 dan anak keempatnya, Khalida Liyana Khalid; menampilkan rekaan batik bertema 'All That Jazz', yang bersesuaian untuk lelaki atau wanita sebagai koleksi formal dan kasual.

Sementara itu, tempat kedua kategori fesyen dimenangi Mohd Hafiz Drahman dengan motif Perisai Tradisi, yang membawa pulang wang tunai RM10,000 dan piala manakala tempat ketiga milik Lim Jia Hui menerusi rekaan bertema Keanggunan Burung Cenderawasih, yang meraih RM5,000 serta piala.

Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan menyampaikan semua hadiah kepada pemenang.

Kamaliah yang juga pengusaha jenama fesyen Ziyan Batik, berkata beliau tidak menjangka penyertaan pertama PSE 2018 bersama dua anaknya membawa tuah.

Katanya, sepanjang sebulan menghasilkan keempat-empat rekaan, mereka bertiga membahagikan tugas bagi menyiapkan empat rekaan koleksi untuk dipersembahkan pada pertandingan itu.

"Tugas saya memastikan potongan dan tampalan setiap helaian kain dimanfaatkan mengikut perancangan bagi memastikan rekaan tampil seperti alunan muzik ketika dipersembahkan.

"Sementara itu, Ihsan pula dipertanggungjawabkan untuk menghasilkan cetakan batik blok pada dua koleksi lelaki dan dua koleksi perempuan.

"Berbeza pula dengan Khalida Liyana, tugasnya memberi tumpuan kepada keserasian rona digunakan pada fabrik crepe selain suntikan rona bagi setiap himpunan koleksi ini," katanya kepada pemberita selepas dinobatkan sebagai juara PSE 2018, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Yayasan Budi Penyayang Malaysia (Penyayang), Nori Abdullah; Ketua Pegawai Eksekutif Penyayang, Datuk Leela Mohd Ali dan Ketua Juri Pertandingan PSE, Prof Datuk Dr Mohamed Najib Ahmad Dawa.

Kamaliah berkata, pengalaman selama 15 tahun dalam industri batik membantunya untuk menghasilkan koleksi lebih unik dan wang kemenangan akan digunakan bagi mengusahakan bengkel warna di Subang Jaya untuk mengetengahkan penggunaan bahan semula jadi dalam perusahaan batik tempatan.

"Bagi menyerlahkan inspirasi melodi dipilih, gabungan warna pastel persis kisah dongeng 'Mermaid' (Duyung) seperti hijau lumut dan ungu digunakan," katanya.

Semua pemenang kategori itu adalah antara 12 finalis bagi pertandingan yang kini memasuki tahun ke-15 penganjurannya. Sementara itu, tempat pertama bagi kategori kraftangan dimenangi Mohd Faizul Noorizan dengan hasil karya bertema Dinding Pusaka.

Kumpulan Suzieana Rahim, merangkumi Suzieana Rahim dan Mohd Fadhil Md Taib pula memenangi tempat pertama bagi kategori Kemasan Lembut.

Pertandingan tahunan itu terbuka kepada penyertaan individu atau kumpulan yang terdiri daripada empat anggota berusia 18 tahun dan ke atas.

Pengadilan ditetapkan mengikut kategori Kraf Tangan, Kemasan Lembut dan fesyen lelaki serta wanita bagi rekaan formal mahupun kasual.

420 dibaca
Berita Harian X