Ahad, 9 September 2018 | 10:00am

Bertubuh besar pun boleh berfesyen

KUALA LUMPUR: Keterbatasan pakaian wanita bersaiz besar di pasaran memberikan ilham kepada anak muda, Muhammad Azhar Zainal Ariffin menjadi pereka busana pengantin dan pakaian kasual khusus untuk golongan terbabit.

Baginya semua orang bebas menggayakan apa juga fesyen dan tidak menjadikannya satu diskriminasi, terutama tanggapan orang ramai tubuh langsing itu sempurna manakala yang berisi sebaliknya.

Muhammad Azhar Zainal, 31, berkata kekurangan pilihan itu juga kerana ramai pereka tidak berani mengambil risiko menghasilkan rekaan bersaiz besar berikutan bimbang ia tidak habis dijual dan merugikan pereka sendiri.

“Dari tukang jahit biasa, saya bermula dengan mengusahakan butik andaman pengantin di Batu Berendam, Melaka dan Alhamdulillah semakin berkembang menerusi rumah fesyen, AZ Brothers Fashion House yang terletak di Bandar Puchong Jaya.

“Segala-galanya bertitik tolak melihat kesukaran isteri mencari pakaian untuk dirinya, jika adapun koleksinya sangat terhad dan harga mahal,” katanya melancarkan koleksi 'plus size' di Loka Nu Sentral, baru-baru ini.


MUHAMMAD Azhar (dua dari kiri) pada pelancaran koleksi 'plus size' di Kuala Lumpur. - NSTP/Rohanis Shukri

Katanya, sebagai pereka beliau mahu menghasilkan rekaan yang boleh digayakan sesiapa sahaja terutama mereka yang berbadan besar untuk tampil menarik kerana penggayaan fesyen satu ketrampilan diri.

“Saya melihat perkembangan fesyen ini hanya menumpukan saiz biasa dan tidak mempunyai kepelbagaian cita rasa. Malah rekaan sedia ada belum melangkaui sesuatu yang berani kerana bimbang ini tidak terjual di pasaran.

“Justeru, saya mengambil inisiatif menghasilkan koleksi untuk bentuk fizikal dan besar, dengan perincian sesuai kerana jika salah menggayakan fesyen seseorang tampak lagi besar daripada saiznya,” katanya.

Lulusan Ijazah Sarjan Muda Seni Fesyen dan Peruncitan Kampus Universiti Teknologi Kreatif Limkokwing, London, berkata golongan pereka seharusnya mempunyai tanggungjawab menyedarkan masyarakat mengenai budaya mengejek saiz badan yang semakin menjadi-jadi kebelakangan ini.

“Kita perlu mewujudkan fesyen untuk semua, tanpa memberikan batas untuk bentuk tubuh tertentu, hingga mengiyakan lagi diskriminasi terhadap golongan berbadan besar.


PERTUNJUKAN fesyen rekaan Azhar Zainal di Loka NU Sentral. - NSTP/Rohanis Shukri

“Permintaan terhadap koleksi bersaiz besar sentiasa ada dan sudah pasti sesiapapun mahu tampil berkeyakinan dan jadi di situ tercetusnya jenama Azhar Zainal ,” katanya.

Katanya, impiannya terhadap rekaan bersaiz besar ini adalah mahu mempelbagaikan rekaan termasuk pilihan gaun petang, namun tetap menetapkan elemen warisan dalam setiap rekaan.

“Saya mahu mengekalkan keaslian dan warisan misalnya menerapkan teknik batik, tenunan songket, sulaman tekad ke dalam rekaan yang lebih moden supaya pakaian ini boleh diketengahkan ke dunia luar.

“Pada masa sama, saya mahu menyediakan peluang pekerjaan dalam bidang jahitan untuk membantu komuniti ibu tunggal, tukang jahit dari FELDA dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS),” katanya.

465 dibaca
PEREKA fesyen, Muhammad Azhar Zainal Ariffin. - NSTP/Rohanis Shukri
PERTUNJUKAN fesyen rekaan Azhar Zainal di Loka NU Sentral. - NSTP/Rohanis Shukri
PERTUNJUKAN fesyen rekaan Azhar Zainal di Loka NU Sentral. - NSTP/Rohanis Shukri
PERTUNJUKAN fesyen rekaan Azhar Zainal di Loka NU Sentral. - NSTP/Rohanis Shukri
Berita Harian X