Jumaat, 31 Ogos 2018 | 10:01am
ANTARA model terbaru jam tangan yang terdapat di butik Rado, Suria KLCC. - Foto Khairul Azhar Ahmad

3 unsur alam serlah keunikan jam Rado

KUALA LUMPUR: Mengambil inspirasi keindahan alam semula jadi, jenama jam tangan terkemuka dari Swiss, Rado, memperkenalkan koleksi baharu, True Thinline Nature yang lebih eksklusif dan inovatif.

Himpunan jam tangan lelaki dan wanita dari rangkaian True Thinline bertemakan The Elements of Time itu menggabungkan tiga unsur alam iaitu tanah, air dan fauna dan diterjemahkan dalam rekaan.

Setiap rekaan mempunyai keistimewaan masing-masing. Bagi menghasilkan rekaan lebih terperinci dan teliti, Rado bekerjasama dengan Grandi Giardini Italiani, iaitu organisasi utama yang bertanggungjawab mempromosikan warisan dengan menjaga taman botani bersejarah di Itali.


MODEL memperagakan jam terbaru keluaran Rado pada perasmian butik RADO di Suria KLCC. - Foto Khairul Azhar Ahmad

Ketiga-tiga sumber alam itu diterjemahkan dalam reka bentuk jam bermula dari talinya hingga ke permukaan depan dail jam dan jarum.

Didatangi dalam tiga warna dengan menampilkan reka bentuk dail yang inovatif dan diambil daripada logo Grandi Giardini Italiani.

True Thinline Nature menampilkan koleksi rona coklat muda bagi mewakili keindahan tanah di bumi, manakala jam tangan warna hijau mengambil keunikan struktur dedaun yang menggambarkan kesegaran fauna.

Untuk kepelbagaian, disediakan koleksi jam tangan rona biru bagi menggambarkan kejernihan air yang mengalir.


ANTARA model terbaru jam tangan yang terdapat di butik Rado, Suria KLCC. - Foto Khairul Azhar Ahmad

Rekaan tali jam seakan gelang tangan berkilat dan bercahaya ini nampak lebih eksklusif dengan permukaan dail lebih unik tetapi ringkas.

Diperbuat dengan ketelitian hasil tangan itu menggunakan bahan berteknologi dan seramik bermutu tinggi, sinonim dengan jenamanya yang sudah mula bertapak sejak 1917.

Walaupun koleksi True Thinline Nature ini ringan dan nipis tetapi kecanggihan teknologinya bersifat tahan lasak dan tahan lama.

Rekaan ringkas dan sesuai digayakan untuk semua majlis eksklusif, keraian atau acara santai bagi menyerlahkan penampilan gaya glamor, sofistikated dan praktikal.

Harga koleksi True Thinline Nature, antara RM 8,000 sehingga RM 20,000.


TIMBALAN Presiden Jualan, Rado Watch Co. Ltd. Switzerland, Carlos Cardenas (tiga dari kanan) bersama, Pengurus Jualan Serantau, Rado Watch Co. Ltd. Switzeland, Daniel Garcia (dua dari kiri), Pengarah Eksekutif, Suria KLCC Sdn. Bhd., Andrew Brien dan Ketua Pegawai Operasi, Suria KLCC, Francis Tan pada perasmian butik Rado di Suria KLCC. - Foto Khairul Azhar Ahmad

Selain koleksi True Thinline Nature, Rado turut membawa beberapa lagi koleksi lain, iaitu koleksi Hyperchrome, Diamaster dan True.

Koleksi True Thinline Nature, kali pertama dilancarkan di negara ini sempena pembukaan butik Rado yang ke lima di pusat beli-belah Suria KLCC, baru-baru ini.

Hiasan dalaman butik Rado turut diberi nafas baru seiring dengan konsep terkini yang menampilkan ciri rekaan asli dengan elemen lebih segar. Butik berkenaan mengetengahkan reka bentuk kontras.


TIMBALAN Presiden Jualan, Rado Watch Co. Ltd. Switzerland, Carlos Cardenas (tengah) bergambar dengan barisan pelakon, Fikry Ibrahim (dari kiri), Anzalna Nasir, Adeline Tsen dan Wak Doyok pada perasmian butik RADO di Suria KLCC. - Foto Khairul Azhar Ahmad

309 dibaca
Berita Harian X