Khamis, 30 Ogos 2018 | 9:05am
FESYEN dihasilkan untuk kanak-kanak sempena sambutan Hari Kemerdekaan.

Fesyen Jalur Gemilang suntik patriotisme

KUALA LUMPUR: Setiap kali menjelang 31 Ogos, detik meraikan Hari Kebangsaan disambut meriah dengan pelbagai aktiviti termasuk dalam kalangan tukang jahit apabila banyak menerima tempahan pelbagai rekaan pakaian bertemakan Jalur Gemilang untuk digayakan pada tarikh berkenaan.

Justeru, permintaan pelbagai pihak membuka peluang tukang jahit mempelbagaikan kreativiti bagi menghasilkan pakaian bertemakan bulan kemerdekaan untuk digayakan pada majlis berkaitan.

Tukang jahit daripada jenama owliet_crafthouse, Mona Sunni, berkata sejak dua tahun lalu, beliau menerima tempahan pakaian lebih 33 koleksi pakaian bertemakan Jalur Gemilang daripada pelanggan.

Katanya, lazimnya beliau mendapat tempahan koleksi pakaian untuk dipakai kanak-kanak yang akan diperagakan sempena sambutan Hari Kebangsaan di sekolah.

“Saya mula menjahit baju anak sempena Hari Kebangsaan sejak 2016. Kebetulan, sebelum itu saya memang menjahit baju raya dan pakaian untuk kanak-kanak yang membuat persembahan untuk acara tertentu.

“Ketika itu, saya menjahit baju gaun menggabungkan gaya tradisional dan moden iaitu peplum bagi memberikan kelainan pada penampilan rekaan,” katanya.

Lapan jam siapkan tempahan

Beliau berkata, hasil rekaannya mendapat pujian daripada guru dan kenalan rapat, lantas memberi idea menerima tempahan.

Mona mengakui bukan mudah untuk menghasilkan rekaan baju Jalur Gemilang kerana perlu menitikberatkan beberapa elemen selain pemilihan fabrik bendera lazimnya diperbuat daripada nilon.


MONA menampilkan koleksi dihasilkan untuk kanak-kanak sempena sambutan Hari Kemerdekaan.

Katanya, proses untuk menyempurnakan persalinan bergantung kepada kerumitan bahkan ada mengambil masa lebih lapan jam untuk disiapkan.

“Kain nilon susah untuk dijahit sebab terlalu licin dan nipis. Jadi perlu teliti untuk proses menjahit.

“Sebelum mula memotong, kain bendera akan disusun terlebih, bagi memudahkan susun atur corak bendera yang akan dihasilkan menjadi baju,” katanya.

Mona berkata, tahun ini untuk koleksi fesyen Jalur Gemilang ditempah adalah rekaan lebih kreatif termasuk peplum, pakaian pahlawan Melayu, Puteri Perak dan kot labuh.

Selain itu, sungguhpun tempahan ditutup sejak awal bulan lalu, beliau turut menerima tempahan rekaan Ahli Parlimen bagi memberikan kelainan.

“Sebelum ini, baju Jalur Gemilang dijahit mengikut fesyen baju Melayu Telok Belanga, baju kurung, selempang dan songkok.

“Sekarang macam-macam fesyen direka bagi memenuhi cita rasa pelanggan dan mempelbagaikan idea kreatif untuk meraikan bulan penuh bermakna ini,” katanya.

Mona berkata, selain seronok menghasilkan pakaian berkenaan, usaha itu juga menyuntik perasaan dan semangat patriotik dalam diri sendiri.

Katanya, rekaan dihasilkan menitik beratkan sentuhan sopan dan melambangkan semangat patriotik.

“Ada individu berpendapat memotong bendera adalah perbuatan salah tetapi bagi saya bergantung kepada tujuan untuk menghasilkan persalinan dipadankan sempena sambutan Kemerdekaan.

“Ia juga sebagai satu cara mendidik anak mengenai erti Kemerdekaan dan pastinya saya ambil kesempatan untuk menerangkan kepada mereka mengapa ia perlu disambut,” katanya.

766 dibaca
Berita Harian X