Rabu, 29 Ogos 2018 | 8:48pm
Ezuwan Ismail bersama model bergaya dengan busana rekaannya. - Foto ihsan Ezuwan Ismail
Nabila Razali (kiri) turut hadir membuat persembahan pada Minggu Fesyen KL 2018 Ezuwan Ismail. - Foto ihsan Ezuwan Ismail

Ezuwan Ismail angkat elemen merdeka, seni dalam koleksi terbaharu

KUALA LUMPUR: Bersempena meraikan kedatangan sambutan dan bulan Kemerdekaan kali ke-61, pereka fesyen terkenal, Ezuwan Ismail turut menyuntik elemen berkenaan untuk koleksi terbaharunya yang diperagakan di pentas Minggu Fesyen Kuala Lumpur (KLFW) 2018 baru-baru ini ketika berlangsung di pusat beli belah Pavilion.

Menerusi koleksi Ready To Wear Ezuwan Ismail Spring Summer 2019 yang turut memberi penghormatan kepada ikon seni negara, Allahyarham Tan Sri P Ramlee dan Allahyarhamah Puan Sri Saloma, Ezuwan mengangkat semula gaya Retro Pop Art.

“Kebetulan pertunjukan fesyen (KLFW) ini jatuh bulan Ogos serta Kemerdekaan, saya selitkan unsur warna benda Malaysia dalam setiap rekaan yang ditonjolkan. Mainan warna yang diserlahkan bagai satu kuasa keberanian buat yang memakai. Warna yang ada pada bendera Malaysia secara jelas antara warna yang digemari ramai serta menjadi pilihan golongan muda dan tua.

“Malah saya turut mencetak perkataan Merdeka itu sendiri selain nama P Ramlee, Saloma dan logo nama sendiri di atas baju, seluar dan gaun dengan sentuhan Pop Art,” katanya kepada BH Online.


Model bergaya dengan busana rekaan Ezuwan Ismail. - Foto ihsan Ezuwan Ismail

Model bergaya dengan busana rekaan Ezuwan Ismail. - Foto ihsan Ezuwan Ismail

Ezuwan menambah tema yang dipilih juga diubah menjadi versi kartun.

“Tujuan utama pemilihan konsep ini adalah semoga fesyen menjadi medium perantaraan dalam mengembalikan nostalgia agung kita. Daripada kita mengagungkan imej antarabangsa seperti Marilyn Monroe, watak adiwira Marvel dan lain lain kenapa tidak simbolik kebanggaan tempatan ini yang diangkat.

“Menjadi kebanggaan saya sendiri sebagai anak Malaysia untuk mengagungkan kembali memori P Ramlee dan Saloma ke dalam dunia fesyen tanah air,” katanya.

Papa kepada Eisa Zhafran dan Eisa Zaquan ini sudah lapan tahun berkecimpung di arena fesyen tanah air.


Model bergaya dengan busana rekaan Ezuwan Ismail. - Foto ihsan Ezuwan Ismail

Koleksi RTW Spring Summer 2019 ini terdiri dari 18 rekaan di mana 12 rekaan perempuan dan 6 rekaan lelaki.

Fabrik yang di gunakan terdiri daripada denim,neoprene,sifon,net,dutchess dan cotton. Warna yang terang menjadi pilihan sesuai dengan konsep Pop art.

Fabrik yang di gunakan adalah direka khas oleh pelukis tempatan dan di cetak ke fabrik pilihan. Proses pembikinan fabrik ini mengambil masa 2 bulan.

Butik Ezuwan Ismail terletak di No 1-6, Blok B, Jalan Dagang, Dagang Avenue, Taman Dagang, Ampang, Selangor. Koleksinya juga boleh dilihat menerusi Instagram @ezuwanismail

204 dibaca
Berita Harian X