Khamis, 16 Ogos 2018 | 11:28am
IDA Suraya menunjukkan kain ela edisi terhad buatan luar negara yang terdapat di butik Bianco Mimosa. - Foto Khairul Azhar Ahmad

Ida Suraya pereka fesyen ASEAN pertama terajui IFWD

SUNGAI BULOH: Teguh berdiri sebagai jenama fesyen couture, Bianco Mimosa terus melakar kejayaan tersendiri pada peringkat antarabangsa, apabila pemiliknya dilantik sebagai Ahli Lembaga Penasihat Minggu Fesyen Antarabangsa Dubai (IFWD), Emiriah Arab Bersatu, pada awal Januari lalu.

Mencatatkan sejarah dalam industri fesyen tempatan, Datuk Ida Suraya Mustapha adalah pereka fesyen pertama dari negara ASEAN menduduki jawatan tertinggi itu, untuk tempoh tiga tahun bersama barisan penggiat fesyen berpengaruh dunia.

Katanya, sebagai ahli lembaga penasihat tugasnya selain menjadi juri beliau perlu merancang industri tekstil negara Asia Barat itu untuk dibawa ke Eropah.

“Saya perlu memilih pereka fesyen yang layak bertanding mewakili pihak penganjur, untuk menghadiri sidang akhbar bakal dianjurkan di serata dunia.

“Kelebihan latar belakang sebagai pengedar tunggal fabrik mewah ASEAN, juga memerlukan saya merangka peluang perniagaan merentasi Dubai hingga ke kota fesyen Paris, Perancis,” katanya.

Idea kreatif

Kata Ida Suraya, kepercayaan diberikan kerana kelainan ideanya mengetengahkan kualiti kain, selain rekaan sofistikated

hasil gabungan ilmu kejuruteraan dan fesyen bertaraf antarabangsa.

“Selain menjadi pengedar fabrik tunggal di seluruh ASEAN, saya mempunyai jaringan perniagaan dengan hampir 500 kilang fabrik Eropah, termasuk pasaran Amerika Syarikat, Perancis, Itali, Sepanyol dan Greece.

“Keunikan itu memberi peluang kepada saya membuka butik adi busana dan sedia pakai di kompleks beli-belah terkemuka di negara itu, iaitu di Dubai Mall pada September ini, dengan mengetengahkan tema automotif dan fesyen,” katanya.

Jenama itu sudah bertapak sejak 2013, selain dilantik sebagai pengedar material kebanyakan gedung fabrik di Asia Barat.

“Hampir 50 peratus daripada pengedaran dilakukan untuk pasaran Asia Barat dan selebihnya 50 peratus lagi bagi memenuhi permintaan pelanggan terdiri daripada golongan kenamaan.

“Antara fabrik mewah yang mendapat permintaan tinggi pelanggan adalah sutera satin dan renda, kerana kualiti dihasilkan kilang di Eropah tidak boleh dicetak semula atau ditiru kilang fabrik seperti di China,” katanya.

Ida Suraya berkata, kesempatan itu membolehkannya mengetengahkan koleksi rekaan dan fabrik eksklusif, hanya boleh didapati di bawah jenama itu.

“Dua kali setahun saya berulang-alik ke kilang fabrik, untuk melihat sendiri proses persembahan bagi kategori fabrik terkini.

“Bermula dari situ saya gabungkan jenis fabrik, motif dan warna untuk menghasilkan koleksi busana bersesuaian dengan material,” katanya.

Menyentuh perkembangan fesyen tempatan, Ida Suraya berkata, Malaysia masih jauh ketinggalan dan perlu banyak pembaharuan dari sudut pemikiran dan penerimaan.

Berfikir di luar kotak

Katanya, pereka tempatan perlu berfikir di luar kotak sekiranya mahu setanding dengan pereka fesyen antarabangsa.

“Kita perlu lebih terbuka menerima kelainan dari sudut rekaan persalinan, selain gabungan warna dan motif menjadi nilai estetik dalam setiap rekaan,” katanya yang berkelulusan ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik, Elektrikal dan Sistem, Universiti Kebangsaan Malaysia.

285 dibaca
Berita Harian X