Khamis, 22 Februari 2018 | 3:40pm
SUPERMODEL Sindrom Down terkenal Madeline Stuart, 21, memperagakan koleksi fesyen Norish Kareem Couture, di Minggu Fesyen London, baru-baru ini.

Supermodel Sindrom Down peraga koleksi NKC

KUALA LUMPUR: Jenama fesyen tempatan, Norish Kareem Couture (NKC) menjalinkan kerjasama dengan supermodel Sindrom Down terkenal Madeline Stuart, 21, bagi memperagakan koleksinya.

Selepas beraksi di pentas Minggu Fesyen Dubai, Paris dan New York, model kelahiran Brisbane, Australia muncul pula pada 17 Februari lalu menjadi muse koleksi Vanity Fair NKC di Minggu Fesyen London.

Sebanyak sembilan koleksi 'Vanity Fair' diperagakan di pentas Minggu Fesyen London.

Koleksi ini direka khas untuk wanita sofistikated dengan gaya hidup yang sinonim dengan kemewahan dan berada dalam kelompok atasan.

Usaha jenama itu mengetengahkan model istimewa menarik perhatian di seluruh dunia sekali gus mengubah persepsi orang ramai terhadap orang kurang upaya (OKU).

Norish berkata, pihaknya menyasarkan sebagai jenama fesyen premium yang memberi manfaat kepada dunia, bukan sahaja sebagai pakaian di almari mewah.

"Kami percaya dengan memperkasakan wanita, menyokong dan membantu satu sama lain termasuk sindrom down," katanya.

Norish, anak kelahiran Kuantan, Pahang dan dibesarkan di Kuala Lumpur, yakin tiada isu menggunakan Stuart kerana personaliti dan kecantikannya boleh dimanfaatkan.

NKC adalah sekutu kepada badan National Down Syndrome United States.

Jenama fesyen itu turut melancarkan produk kecantikan sulung, iaitu Billionaire Fresh Hair Mist di bawah naungan Norish Kareem Cosmetics sebagai produk semburan rambut rasmi di belakang pentas NKC, pada Minggu Fesyen London.

1607 dibaca
Berita Harian X