Selasa, 26 Disember 2017 | 7:46am
NEELOFA menerima pelbagai pengiktirafan berprestij dan menjadi ikon usahawan muda berjaya. - Foto Salhani Ibrahim
PADZILAH memenangi Anugerah PKS Patuh Syariah 2017. - Foto Rosela Ismail

Wanita cipta sejarah tersendiri industri fesyen

INDUSTRI fesyen tempatan mencatat sejarah tersendiri sepanjang tahun ini apabila beberapa nama usahawan wanita mendapat pengiktirafan pada peringkat tempatan dan global.

Dua usahawan muda wanita, iaitu selebriti Noor Neelofa Mohd Noor dan Pengasas Bersama Fashion Valet, Datin Vivy Yusof disenaraikan dalam kategori Usahawan Muda Berjaya Di Asia oleh Forbes 30 Under 30 Asia 2017.

Pencapaian itu menggambarkan pembabitan wanita dalamindustri fesyen dan kecantikan itu bukan bidang picisan sebaliknya memberi sumbangan besar pada pendapatan peribadi dan negara.

Sungguhpun landskap fesyen dilihat dimonopoli pereka lelaki, saban tahun penampilan pereka fesyen wanita semakin menyerlah dan selesa menempatkan diri dalam industri rekaan kreatif.

Pada usia 30 tahun, Neelofa yang juga pengasas NH Prima International Sdn Bhd, sudah bergelar jutawan muda menerusi kejayaannya menjalankan perniagaan berasaskan gaya hidup, iaitu tudung, pakaian dan minyak wangi.

Beliau menerima pelbagai pengiktirafan berprestij dan menjadi ikon usahawan muda berjaya, selain mencipta rekod tersendiri dalam industri seni, pengacaraan, model dan duta produk.

Turut memberikan impak tersendiri dalam industri e-dagang tempatan, Vivy pula mencipta fenomena pembelian dalam talian dengan mengasaskan laman sesawang, FashionValet.

FashionValet kini memiliki lebih 30 kakitangan dan menampilkan lebih 400 jenama seluruh Asia.

Dikenali sebagai ikon fesyen, Vivy berjaya memikat cita rasa wanita Muslimah, apabila tudung, The dUCk menjadi kegilaan peminat fesyen bukan sahaja di Malaysia, malah Indonesia dan Brunei.

Kehadiran jenama telekung premium, Siti Khadijah mengubah persepsi wanita untuk memiliki sepasang telekung selesa untuk bersolat dan tidak kisah berbelanja sehingga produknya menembusi pasaran global termasuk Asia Barat.

Kemunculan Pengasas Telekung Siti Khadijah (SK), Padzilah Enda Sulaiman, 54, yang asalnya suri rumah sepenuh masa membuktikan wanita mampu melangkah jauh menggegar dan menakluk dunia dalam pelbagai cara.

Jalin kerjasama

Syarikat beliau mengungguli Anugerah PKS Patuh Syariah 2017 Bank Islam-Utusan yang julung kali diadakan apabila memenangi Anugerah Perdana, baru-baru ini.

Jutawan kosmetik, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman, 45, atau lebih dikenali sebagai Datuk Vida, memiliki ketokohan dan sisi berbeza dalam bidang keusahawanan.

Pengasas Vida Beauty Sdn Bhd mengorak langkah mengumumkan kerjasama beliau dengan jenama terkemuka, Louis Vuitton (LV) untuk menghasilkan produk beg tangan jenama sendiri, iaitu DSV-LV.

Susun strategi pemasaran

Karakter dan kebijaksanaannya menyusun strategi pemasaran dan penjenamaan sememangnya melangkaui masa depan termasuk klip video lagu I am Me lebih 3.2 juta di seluruh dunia seharusnya dijadikan inspirasi wanita lain.

Bagi pereka fesyen, Nur Alia Bastamam, 33, yang pada awalnya hanya menerima tempahan busana, khusus atas tempahan busana, juga menyerlah pada tahun ini, apabila perjalanannya dalam bidang kreatif diiktiraf selepas menerima Anugerah Terbaik 2017 Minggu fesyen Kuala Lumpur 2017 (KLFW 2017).

Sepanjang tahun ini juga menyaksikan ramai usahawan wanita dalam bidang fesyen membuat pertunjukan pentas koleksi mereka di luar negara termasuk di Dubai dan New York.

2448 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »