Selasa, 12 Disember 2017 | 6:47am
SELENDANG cetakan digital kini menjadi trend kepada peminat fesyen.

Tudung cetakan digital terkini

KUALA LUMPUR: Menggunakan motif alam semula jadi, pereka Veena Azmi tampil dengan rekaan selendang terkini menggunakan cetakan digital, bertemakan 'Cinta Pandang Pertama'.

Selendang cetakan digital yang kini menjadi trend peminat fesyen menggunakan fabrik sutera satin itu adalah inspirasi yang diilhamkan daripada perasaan peribadi, cinta pandang pertamanya.

Veena berkata, koleksi selendang panjang itu adalah gambaran perasaannya yang mahu dikongsi dengan seluruh wanita.

"Bagaimana perasaan gembira, bahagia dan berdebar-debar ketika cinta mula berputik dan berbunga kerana jatuh hati pada pandangan pertama, begitu juga dengan konsep yang cuba saya terapkan dalam koleksi kali ini.

"Sesiapa saja pasti akan jatuh cinta apabila kali pertama melihat dan memandang rekaan eksklusif ini," kata pereka yang turut mencipta nama di Brunei ini.

Veena berkata, shawl sepanjang dua meter tampak mewah dengan kemasan cetakan digital selain mempunyai kemasan tepi bermotifkan abstrak potongan laser bagi menambahkan lagi pesona kepada pemakai.

Penggunaan fabrik dari jenis satin sutera juga menjadikan ia kelihatan cukup lembut bak mutiara menyerlahkan impak cetakan digital serta menimbulkan lagi motif bunga-bungaan pada rekaan.

Koleksi ini didatangkan dalam lima warna pastel pada bahagian dasarnya dan satu warna hitam (bold) antaranya Bamboo Leaves, dengan warna asasnya putih gading bermotifkan daun pokok buluh dan kipas palas kehijauan.

Pemilihan warna lembut seperti krim pada koleksi Bloomy Bouquet, kelabu untuk koleksi Frosty Bloom dan biru lembut pada Garden Valley menyerlahkan lagi motif bunga menjadikan nampak lebih menonjol dan hidup.

Katanya, kejayaan mengenengahkan rekaan terkini dan menempa nama di pentas fesyen antarabangsa sempena Minggu Fesyen Dunia Malaysia, baru-baru ini, turut memberi inspirasi kepadanya menghasilkan rekaan selendang berkenaan bersesuaian dengan tema minggu fesyen itu, 'Love The Nature, Love The World'.

617 dibaca
Berita Harian X