Isnin, 11 Disember 2017 | 3:41pm
ANTARA orang ramai yang hadir ketika Majlis Pelancaran Sell.Send.Story dan Scarf Machines sebagai Revolusi Runcit baharu 2017 di Pejabat Urusan Aidijuma, Bukit Jelutong Shah Alam. - Foto Syarafiq Abd Samad

Aidijuma perkenal modul perniagaan baharu

SHAH ALAM: Colors Addiction Sdn Bhd, pengeluar tudung bawal Aidijuma, hari ini memperkenalkan modul perniagaan terbaru, iaitu penjualan tudung menggunakan trak di seluruh negara, yang dinamakan Scarf Machines.

Pengasas Aidijuma, Datin Norjuma Habib Mohamed, berkata modul perniagaan baharu itu menggabungkan elemen penjualan menerusi dalam talian dan runcit, sekali gus memudahkan pelanggannya melakukan pembelian secara langsung.

"Selepas pelanggan melakukan pembelian dalam talian, kita akan menghantar barangan terbabit menggunakan trak ini yang mana ia turut mempunyai pelbagai pilihan reka bentuk tudung Aidijuma.

"Pelanggan kemudian diberi peluang untuk melihat segala produk yang dibawa trak itu, malah boleh melakukan pembelian serta-merta sekiranya berminat," katanya ketika ditemui pemberita pada majlis Pelancaran Color Machines, di sini, hari ini.


DATIN Norjuma Habib Mohamed (tengah) ketika Majlis Pelancaran Sell.Send.Story dan Scarf Machines sebagai Revolusi Runcit baharu 2017 di Pejabat Urusan Aidijuma, Bukit Jelutong Shah Alam.- Foto Syarafiq Abd Samad

Color Machines merangkumi Scarf Machines, LajuJe Trucks dan Zawara Cosmetics.

 

Norjuma berkata, pihaknya turut menyasarkan untuk meluaskan operasi Scarf Machines di Sabah dan Sarawak dengan menambah jumlah trak terbabit.

"Buat masa ini, kita mempunyai 12 trak yang beroperasi di negara ini, dan kita bercadang menambah lapan lagi Scarf Machines di Sabah dan Sarawak.

"Kita sudah menutup tujuh kedai konsep untuk memberi tumpuan terhadap modul perniagaan baharu ini kerana ia disifatkan sebagai masa depan Aidijuma serta langkah persediaan terhadap era digital," katanya.

Beliau berkata, pendekatan baharu itu juga sebagai langkah baharu Aidijuma untuk mendekati pelanggan mereka selain menawarkan produk terbaharu keluaran jenama terkemuka itu.

"Selepas lima tahun berada di pasaran, kita memikirkan bagaimana cara untuk berada lebih dekat dengan pengguna. 

"Ini adalah integrasi dalam talian dan runcit yang mana bakal menjadi masa depan perniagaan Aidijuma, jadi kita memulakan revolusi ini sekarang," katanya yang turut menambah inisiatif itu sudah dimulakan sejak Jun lalu.

INFO

Aidijuma Scarf

- 20 kedai konsep

- 100 kedai konsep mudah alih

- Menghantar 200 parsel setiap hari

 

1402 dibaca
Berita Harian X