Sabtu, 9 Disember 2017 | 10:09am
Penyelaras Program KWFN 2017, Azman Ripin (dua dari kiri) bersama ahli jawatankuasanya pada sidang media Pertunjukan Busana Pengantin 2017 ( KWFN 2017) pada 13 Disember ini yang diadakan di Dewan Kimstone, Beserah. - Foto Muhd Asyraf Sawal

Pameran busana pengantin tempatan

bhnews@bh.com.my

KUANTAN: Seramai 30 pemilik busana pengantin bakal memeriahkan Pertunjukan Busana Pengantin 2017 ( KWFN 2017) pada 13 Disember ini di Dewan Kimstone, Beserah, di sini.

Program julung kali anjuran Persatuan Peniaga Melayu Kompleks Teruntum ( KOMTER STUDIO) itu bertujuan membantu memperkenalkan pemilik busana pengantin tempatan yang kebanyakannya beroperasi di pusat membeli-belah berkenaan.

Penyelaras Program KWFN 2017, Azman Ripin berkata, program itu berkonsepkan pertunjukan fesyen 'runaway' yang memerlukan semua peserta memperagakan rekaan busana masing-masing.

"Pertunjukan fesyen ini membabitkan segmen pertandingan busana tradisional khusus kepada pemilik butik di Kompleks Teruntum, manakala pertandingan busana moden pula terbuka kepada semua, termasuk peserta dari Kuala Lumpur, Terengganu dan Johor Bharu.

" Kita juga turut mencari model lelaki dan perempuan untuk dinobatkan sebagai Mr dan Miss Pahang KWFN 2017 dan gelaran Miss KOMTER pula diberikan kepada pemilik busana di Kompleks Teruntum yang layak sekali gus menjadi duta di pusat membeli-belah berkenaan," katanya.

Azman berkata, pemenang Mr dan Miss Pahang KWFB 2017 akan menerima hadiah bernilai RM1,000 termasuk wang tunai, pakej percutian dan trofi.

Katanya, pertunjukan fesyen itu yang akan dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Shahaniza Shamsuddin turut dimeriahkan dengan penampilan khas koleksi busana pengantin kain tenun daripada Kompleks Pengembangan Tenun Diraja Pahang, Kampung Soi yang kali pertama ditunjukkan kepada orang ramai.

"Selain itu, pertandingan yang diadakan itu akan diadili oleh juri profesional dan berpengalaman luas antaranya juru tatarias terkenal, Zulfazli Suhadi dari Beauty Workshop, Arma Rahman (Arma Couture) dan Datuk Mohd Riffairuddin (Riffai Couture).

"Kita berharap dengan adanya program seperti ini dapat membantu mempromosi produk busana pengantin di daerah ini sekali gus menjadikannya sebagai acara tahunan dalan kalendar pelancongan negeri ini," katanya.

240 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »