Rabu, 27 September 2017 | 10:21am
GANDINGAN merah jambu dan biru menyerlahkan jiwa romantik.

Merah jambu serlah gaya lelaki?

Warna merah jambu sinonim dengan wanita bagi menyerlahkan penampilan lebih lembut dan romantik.

Apakah pandangan anda jika lelaki menyarung pakaian atau seluar berwarna merah jambu?

Sebenarnya, tak salah lelaki memilih rona itu bagi menyerlahkan gaya, walaupun bagi sesetengah jejaka 'geli' untuk menyarungkan kerana tidak menampakkan maskulin.

Mengikut penulis buku, Pink and Blue: Telling the Boys from the Girls in America yang diterbitkan pada 2012, Jo B, Paoletti, pada abad ke-19, warna merah jambu mewakili usia bukan jantina seperti sekarang.

Ketika itu, warna berkenaan dikaitkan dengan kesihatan, baharu dan kesucian sekaligus sesuai menggambarkan bayi, pipi merah dan matahari terbit pagi.

Mengikut penulisnya, lewat 1800-an, merah jambu dan biru mula digunakan secara meluas bagi membezakan jantina.

Wujud pandangan berbeza mengenai pemakaiannya. Di Perancis rona merah jambu sesuai untuk perempuan berbanding Amerika Syarikat, memilihnya sebagai gaya ideal bagi lelaki.

Pengarah Muzium Institut Teknologi Fesyen New York, Valerie Steele pula mendakwa, warna berkenaan mewakili gaya maskulin.

"Ia kian dipopularkan pereka dari Book Brothers pada awal tahun 1900-an," katanya.

Valerie berkata, pada mulanya ia menyasarkan pelajar perempuan sebaliknya, menarik perhatian pelajar kolej lelaki sekaligus disesuaikan dengan gaya penampilan Ivy League yang sangat popular ketika itu.

Mengulas mengenai isu ini, Perunding Imej, Etiket dan Warna Profesional (UK) dari Top2ToeStyliesta, Emi Idura Che Hashim tidak menganggap ia sebagai aliran baharu, sebaliknya bermula sekitar abad ke-18 ketika lelaki zaman itu gila menyarungkan sut merah jambu dengan sulaman bunga.

Emi berkata, pemakaian merah jambu yang sering dikaitkan dengan ciri kewanitaan, sinonim cinta dan sikap saling memberi.

Meskipun, kalangan lelaki sasa ada yang masih gentar mencuba warna itu kerana khuatir lenyap sisi kelelakian, tidak dinafikan lebih ramai mahu mencubanya.

"Tiada istilah lelaki lembut kala mencuba merah jambu. Sebaliknya, ia diterjemahkan sebagai moden, bersikap terbuka selain sentiasa berminat mengetahui pandangan ramai mengenai penampilan peribadi mereka. Selain itu, mereka turut digambarkan bijak dan budiman," katanya.

Bagaimanapun, Emi menyarankan ia perlu diiringi pilihan aksesori sesuai personaliti, kod berpakaian ke pejabat, bajet termasuk mesej yang cuba disampaikan sewaktu menyarungkan warna berkenaan.

"Tiada aksesori tertentu namun menarik sekiranya dipadankan dengan tali leher rona bersesuaian, kafling, rompi, kaca mata hitam, di samping jam tangan sejajar formaliti pakaian," katanya.

Emi berkata, sekiranya tidak mahu dipandang sebagai lelaki berjiwa lembut, pastikan anda memilih aksesori lebih menyerlahkan kelelakian seperti tali leher dan kafling.

Menyentuh kombinasi disyorkan mengiringi warna romantis itu, ia lebih memberi impak sekiranya digandingkan warna kelabu, biru laut, coklat, namun elakkan padanan warna krim.

"Sebaik-baiknya, belajar menyuai-padan pakaian menggunakan strategi skema warna. Skim warna saling menyokong, analogous, triad, tetrad dan monokromatik antara suai padan yang perlu dicuba dan dikuasai," katanya.

Emi tidak mengehadkan pilihan busana merah jambu membabitkan lelaki berkulit cerah saja sebaliknya, penggayaan dan padanan warna dalam penampilan seharusnya bermula menerusi kenal pasti tona bawah kulit.

"Bukan semua kulit cerah sesuai dengan merah jambu sebaliknya, warna itu cantik buat mereka berkulit sawo matang. Apapun, saya nasihatkan berhati-hati bermain dengan kontras merah jambu dan tona kulit anda," katanya.

Pilihan merah jambu sangat subjektif, iaitu bergantung kepada minat dan keperluan individu.

"Sama seperti warna lain, pemakaiannya tidak dikhaskan untuk majlis tertentu sahaja. Hanya saya tidak mengesyorkan ia digayakan ketika menghadiri temuduga dan sewaktu melakukan perundingan dengan bakal pelanggan dan pelabur," ujarnya yang mengesyorkan pilihan terhad kepada jaket luar sahaja.

"Sebaik-baiknya, fahami kepelbagaian tona baik warna paling cerah hingga paling gelap memberikan persepsi tertentu kepada si pemakai.

Umumnya, warna cerah dan lembut menterjemahkan tahap autoriti membabitkan pangkat, kuasa serta jawatan rendah berbanding pilihan warna gelap," katanya.

Pilihan warna gelap diklasifikasikan sebagai profesional, lebih matang, tegas selain mempunyai kedudukan dan status tinggi dalam masyarakat.

INFO

Kombinasi busana merah jambu dengan warna lain perlu mengambil kira;

1. Tona bawah kulit (undertone)

2. Bentuk dan jenis badan

3. Gaya dan personaliti

4. Jenis formaliti majlis

5. Jenis formaliti baju (kasual atau formal)

6. Etika pakaian pejabat

7. Mesej yang ingin disampaikan di sebalik pemilihan pakaian

445 dibaca
Berita Harian X