Isnin, 4 September 2017 | 1:22pm

Malaysia jadi pentas Minggu Fesyen Dunia

KUALA LUMPUR: Kira-kira 90 pereka fesyen dari 60 negara akan mempersembahkan lebih 790 rekaan sempena Minggu Fesyen Dunia Malaysia 2017 yang bakal berlangsung, di Hotel Palace of The Golden Horses, pada 7 hingga 10 September ini.

Dengan tema "Eco Fesyen & Gaya hidup - Cintai Semulajadi", Minggu Fesyen Dunia Malaysia 2017 berkenaan adalah kali pertama diadakan di Asia Tenggara, menghimpunkan koleksi dan rekaan untuk 2018.

Ia dijangka menarik lebih 5,000 pengunjung dalam kalangan pengikut fesyen tempatan dan antarabangsa selain peruncit, pembeli dan rakan media termasuk penyiar fesyen rasmi global, FashionTV yang memiliki lebih 300 juta penonton di 190 negara.

Presiden Minggu Fesyen Dunia, Paco De Jaimes, berkata Minggu Fesyen Dunia Malaysia 2017 bakal memberi peluang dan pendedahan global kepada bakat dari negara ini mengekalkan alam sekitar dan tanggungjawab sosial ke arah mengekalkan masa depan terbaik untuk generasi akan datang.

Acara empat hari itu turut diisi dengan pelbagai aktiviti termasuk makan malam gala, persembahan poket fesyen, pameran dan bicara fesyen bersama selebriti.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Maziah Mohamad, berkata acara fesyen antarabangsa ini akan menjadi pentas terbaik bagi pereka fesyen Malaysia, iaitu 20 daripada mereka bakal menyertai Minggu Fesyen Dunia Paris 2017/2018, pada November ini.

"Penganjuran di Malaysia juga adalah selaras dengan falsafah untuk menggalakkan penyatuan global, pembangunan dan tanggungjawab korporat menjaga alam sekitar dalam berfesyen," katanya.

Duchess of Wurttemberg, Puteri Diane dari Perancis dan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah antara tetamu diraja yang akan hadir pada acara berkenaan.

Mereka yang berminat menyertai acara antarabangsa ini terutama peruncit dan pembeli boleh menghubungi Minggu Fesyen Dunia Malaysia 2017, di talian 03-4141 9990 atau www.worldfashionweek.tv.

Info:
Minggu Fesyen Dunia Malaysia 2017

  • Diadakan di Hotel Palace of the Golden Horses
  • Bermula 7 hingga 10 September
  • Kali pertama diadakan di Malaysia dan Asia Tenggara
  • Membabitkan 90 pereka
  • Peserta dari 60 negara
185 dibaca
Berita Harian X