Rabu, 30 Ogos 2017 | 6:50pm
MODEL mengayakan rekaan Rizman Ruzaini ketika pertunjukan KL Fashion Week 2017 di Pavilion. - Foto NSTP/Nurul Shafina Jemenon

Supermodel hangatkan FKLFW RTW 2017

GIMIK pereka duo fesyen, Rizman Ruzaini, menggunakan khidma, supermodel yang juga pelakon, Nasha Aziz ketika memperagakan koleksi rekaannya sempena Kuala Lumpur Fashion Week Ready To Wear 2017 (KLFW RTW 2017), baru-baru ini disifatkan cukup 'menjadi'.

Supermodel berkenaan dilihat bijak 'berdrama' ketika di pentas peragaan, sekali gus membangkitkan aura dramatik pada busana yang digayakan.

Hadirin seakan terpukau dengan setiap liuk-lentuk langkahnya yang sentiasa mendapat tepukan dan sorakan gemuruh, menyerlahkan kehebatan wanita itu di pentas peragaan.

Kehadiran Nasha sebagai wajah ilham (muse) Team Riz (Rizman) antara yang mewarnai kemeriahan KLFW RTW 2017, pada 16 hingga 20 Ogos lalu, di pusat beli-belah Pavilion Kuala Lumpur.

Supermodel Tini atau nama sebenarnya, Hartini Yasin, pula yang menjadi wajah ilham Team Ruz (Ruzaini) mempamerkan aksi lincah di pentas, menghangatkan kemeriahan acara tahunan yang berlangsung sejak lima tahun lalu.


PEREKA fesyen, Rizman Ruzaini ketika pertunjukan KL Fashion Week 2017 di Pavilion. - Foto NSTP/Nurul Shafina Jemenon

Dengan karektor tersendiri, Tini tidak pernah mengecewakan setiap kali memperagakan rekaan tidak kira siapa pun pereka busana yang dipersembahkannya.

Buat julung kalinya, sepanjang 12 tahun pembabitan dalam industri fesyen tanah air, gandingan serasi ini memutuskan tampil secara berasingan dengan menghasilkan koleksi masing-masing.

Kedua-dua sahabat ini menegaskan, kelainan ini bukan bermakna mereka berdua berselisih faham atau bergaduh, sebaliknya ia sekadar gimik kepada koleksi terbaharu berkenaan.

Rizman berkata, idea menampilkan Team Riz (Rizman) dan Team Ruz (Ruzaini) tidak bermakna mereka akan terus bergerak secara sendirian, sebaliknya mahukan orang ramai menilai sendiri idea yang dipersembahkan mereka.

Hanya dengan cara ini orang ramai dapat menilai dan melihat sendiri perbezaan idea antara Rizman dan Ruzaini.

"Selepas 12 tahun dalam industri, terlintas idea supaya orang boleh nampak apa DNA Rizman dan bagaimana pula dengan DNA Ruzaini.

"Sebab itulah tahun ini kami tampilkan dengan idea dua koleksi yang berbeza ini.

"Walaupun ketika persembahan KLFW RTW 2017 lalu kami tampil dengan koleksi berlainan, pengakhirannya kami bersama kembali dan ini menunjukkan apa saja berlaku kami akan tetap bersama sampai bila-bila," katanya.


MODEL mengayakan rekaan Rizman Ruzaini ketika pertunjukan KL Fashion Week 2017 di Pavilion. - Foto NSTP/Nurul Shafina Jemenon

282 dibaca
Berita Harian X