Rabu, 2 Ogos 2017 | 5:46pm

Tarikan kebaya

Oleh Fatin Hafizah Mohd Shahar

fatin@bh.com.my

KOLEKSI pakaian tradisional seperti kebaya tidak mungkin pupus dek zaman walaupun industri fesyen sudah melangkaui dalam penghasilan rekaan koleksi serba canggih.

Keunikan dan keaslian rekaan kebaya tetap menjadi pilihan bukan saja dalam kalangan dewasa tetapi juga remaja

memandangkan koleksi itu mampu menyerlahkan lagi keayuan serta kecantikan diri.

Sehubungan itu, bagi mengekalkan keindahan rekaan tradisional itu, jenama fesyen Kuntum Halia Enterprise menampilkan tiga koleksi kebaya memberikan kelainan cita rasa menyuntik gandingan elemen klasik dan moden.

Menggunakan fabrik ditempah khas dari Bandung, Indonesia, setiap koleksi diketengahkan jenama ini tetap mengekalkan elemen rekaan klasik selain rona menarik buat setiap kategori karakter wanita moden.

Nilai tarikan tersendiri

Pemilik Kuntum Halia Enterprise, Hairun Afzan Binti Abd Jabar, 32, berkata terdapat tiga koleksi diketengahkan jenama itu iaitu kebaya peplum, klasik dan cetak yang masing-masing mempunyai nilai tarikan tersendiri.

Katanya, selain rekaan pemilihan fabrik kapas royal ditempah khas dengan motif diketengahkan juga menjadikan pemakaian kebaya dari jenama itu mempunyai nilai tambah tersendiri.

"Seperti koleksi kebaya peplum, ia menggabungkan rekaan antara kebaya klasik di bahagian atas baju dan peplum untuk memberikan kelainan.

"Koleksi terdiri daripada rona gelap dan terang ini juga sesuai untuk wanita sukakan kelainan dan elemen moden namun masih mahu mengekalkan nilai tradisi dalam diri," katanya.

Kekalkan ciri tradisional

Selain itu, katanya bagi koleksi kebaya klasik pula ia mengekalkan ciri-ciri rekaan tradisional dengan potongan sendat mengikut susuk badan.

"Pemilihan fabrik kapas linen gred terbaik juga membolehkan ia dipadankan sepanjang hari buat wanita mahukan penampilan anggun.

"Selain itu, bagi memberikan keselesaan pemakaian, potongan diketengahkan untuk semua saiz juga diambil kira supaya wanita dapat tampil selesa dengan saiz pilihan," katanya.

Katanya, koleksi cetak pula mengetengahkan sentuhan lebih nostalgia dan feminin menerusi motif bunga dari rona pastel.

"Kebaya ini menggunakan material kapas Inggeris yang sinonim cetakan motif bunga-bunga romantik. Ia juga mewah dengan sentuhan nostalgia.

"Selain itu, koleksi ini juga mengetengahkan pemakaian kebaya lebih selesa dan mudah dipadankan dengan gaya seharian wanita," katanya.

Info:

Kebaya peplum

* Gabungan rekaan peplum dan kebaya

* Menggunakan fabrik kapas royal

Kebaya klasik

* Rekaan mengikut bentuk badan

* Menggunakan fabrik kapas linen gred terbaik

Kebaya cetak

* Sentuhan rekaan nostalgia

* Menggunakan fabrik kapas Inggeris

790 dibaca
Berita Harian X