Selasa, 30 September 2014 | 11:03am
Johanna Hessling daripada Guinness World Records (kiri) menyampaikan sijil kepada Menahem Asher Silva Vargas, seorag peguam 37 tahun bagi mengiktirafnya sebagai pengumpul koleksi barangan Harry Potter nombor satu dunia di rumahnya di bandaraya Mexico semalam. - Foto AP

Warga Mexico pengumpul koleksi 'Harry Potter' nombor satu dunia

BANDARAYA MEXICO: Seorang lelaki di sini menjadi pengumpul barangan koleksi 'Harry Potter' nombor satu dunia dan diiktiraf oleh 'Guinness World Records'.

Menahem Asher Silva Vargas mengambil masa hampir 15 tahun untuk mengumpul semua barangan berkaitan siri fantasi remaja hasil penulis dari Britain J K Rowling itu, yang kini menjadi lapan filem 'blockbuster'.

Koleksinya memenuhi dua bilik dan meliputi segala-galanya daripada kayu ahli sihir dan watak filem itu dalam bentuk mainan hinggalah kepada skaf yang dipakai Gryffindor dan replika penyapu Quidditch.

Guinness World Records dengan rasminya semalam mengiktirafnya sebagai nombor satu dunia dengan 3,097 barangan. Rekod dunia sebelum ini adalah 807 barangan.

Silva Vargas berkata beliau pada mulanya tidak berhasrat untuk mengumpul begitu banyak barangan tetapi lama-kelamaan ia menjadi seperti "dirasuk".

"Gaji saya, bonus saya...banyak dibelanjakan untuk ini," katanya. - AP

86 dibaca
Berita Harian X