Rabu, 10 Mei 2017 | 12:09am
KUIH keria gula Melaka Huda mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan sekitar Kota Kibabalu. - Foto Mohd Adam Arinin
HUDA menyalutkan gula Melaka pada adunan tepung dan ubi manis untuk dijadikan kuih keria. - Foto Mohd Adam Arinin
HUDA menyalutkan gula melaka pada adunan tepung dan ubi manis untuk dijadikan kuih keria sebelum dijual. - Foto Mohd Adam Arinin

Kuih keria ala YouTube

KOTA KINABALU: Melihat sambutan luar biasa kuih keria gula Melaka di Semenanjung, mencetuskan idea seorang suri rumah, Huda Saim, 32, untuk cuba memasarkan kuih tradisional yang sama di Kota Kinabalu, akhir tahun lalu.

Masalahnya, bagaimana hendak membuat kuih berkenaan, memandangkan beliau sendiri tidak pernah melakukannya. Atas saranan seorang rakan, media sosial YouTube menjadi rujukannya.

"Saya akui YouTube banyak mengajar saya. Bermula daripada mencari resipi, mengenal pasti bahan, adunan tepung, cara membuat dan menyira gula ke atas kuih berkenaan.

"Percubaan awal membuat kuih ini, saya menghadapi sedikit masalah kerana tekstur sedikit keras dan salutan gula Melaka kurang menjadi. Saya tidak menyerah kalah dan selepas mencuba beberapa kali serta meminta nasihat ibu di kampung, barulah ia berjaya dihasilkan," katanya kepada BH.

Graduan Diploma Pengajian Perniagaan, Politeknik Kota Kinabalu itu, berkata selepas percubaannya berjaya, beliau mula memasarkan kuih keria gula Melaka air tangannya secara dalam talian, selain menjualnya dalam kalangan rakan sekerja suami.

"Pada awalnya, saya bimbang dan khuatir dengan sambutan kuih keria itu, kerana tidak menerima sebarang maklum balas daripada pelanggan. Bagaimanapun, selepas menerima banyak maklum balas positif, saya semakin yakin untuk meneruskan hasrat untuk berniaga kuih keria gula Melaka.


HUDA menunjukkan kuih keria gula Melaka yang siap untuk dijual ketika ditemui di rumah mereka di Tanjung Aru, Kota Kinabalu. - Foto Mohd Adam Arinin

HUDA dibantu suaminya menyediakan kuih keria untuk dijual. - Foto Mohd Adam Arinin

"Saya sendiri terkejut dengan maklum balas pelanggan yang sudah mencuba kuih keria ini. Malah, ramai antara mereka menempah untuk jamuan keluarga dan hidangan selepas mesyuarat di pejabat.

"Ramai pelanggan mengatakan kuih keria gula Melaka saya lembut dan memiliki rasa gula Melaka tidak terlalu manis tetapi enak," katanya.

Menyingkap kembali pembabitannya dalam perniagaan kuih tradisional itu, Huda berkata, beliau terpegun apabila melihat sambutan hebat terhadap kuih keria antarabangsa di Limbongan, Melaka yang menjadi viral di laman sosial.

"Malah, saya dan suami pernah beratur panjang semata-mata mahu membeli serta merasai kuih keria gula Melaka yang popular berkenaan.

"Daripada situ timbul hasrat untuk membuatnya sendiri dan menjualnya. Bagaikan orang mengantuk disorongkan bantal, suami menyokong idea berkenaan ketika kami berbual-bual hujung tahun lalu," katanya.

Berasal dari Segamat, Johor, ibu kepada dua cahaya mata perempuan itu berkata, setakat ini beliau mampu menghasilkan lebih 200 biji keria gula Melaka sehari bagi memenuhi permintaan pelanggan dan meningkat apabila ada tempahan.

"Saya bangun seawal jam 4 pagi sekiranya menerima banyak tempahan disebabkan ia harus disiapkan awal sebelum dihantar kepada pelanggan.


ADUNAN tepung dan ubi manis digoreng untuk dijadikan kuih keria. - Foto Mohd Adam Arinin


HUDA bersama suami menunjukkan kuih keria gula Melaka yang siap untuk dijual. - Foto Mohd Adam Arinin

"Setiap hari saya hanya meletakkan sasaran menghasilkan 200 biji kuih keria berikutan semua penyediaan hanya dilakukan seorang diri, kadang-kadang suami membantu sekiranya ada masa lapang," kata anak ketiga daripada lima beradik.

Memasarkan produk di bawah jenama #keriagulamelakaHuda, beliau menggunakan kira-kira 10 kilogram ubi manis setiap kali menyiapkan tempahan kuih keria gula Melaka.

Selain menjual kuih keria gula Melaka, Huda turut mengusahakan perniagaan karipap sejuk beku sejak penghujung 2015.

"Sebelum ini, saya aktif memasarkan karipap berinti ayam kentang yang sudah disejuk beku dan sambutan ke atas produk ini tidak kurang hebatnya sehingga menerima tempahan daripada sebuah hotel terkemuka di bandar raya ini," katanya yang tinggal di Kota Kinabalu kerana mengikut suami bekerja di sebuah agensi.

Berkongsi perancangan masa depan dalam perniagaan makanan diusahakannya, ibu muda ini menyatakan beliau tidak mahu terburu-buru meletakkan sasaran keuntungan terlalu tinggi, sebaliknya mahu mengukuhkan dahulu jenama semua produk makanan dihasilkannya.

"Saya dan suami merancang memperbaiki pembungkusan bagi kedua-dua produk ini dan cuba memasarkan secara terus seperti membuka kios atau gerai. Saya percaya dengan adanya pembungkusan menarik dan rasa yang sedap, pasti produk kami mampu menarik lebih ramai pelanggan," katanya.

Kuih keria gula Melaka Huda dijual pada harga RM8 sekotak yang mengandungi 10 biji kuih berkenaan, manakala karipap sejuk beku dipasarkan dengan harga RM6 sekotak.


KUIH keria gula Melaka Huda lembut dan memiliki rasa gula Melaka tidak terlalu manis tetapi enak. - Foto Mohd Adam Arinin

INFO
Kuih Keria Gula Melaka Huda

  • Menggunakan kira-kira 10 kilogram ubi manis setiap kali menyiapkan tempahan kuih keria gula Melaka.
  • Menghasilkan lebih 200 biji keria gula Melaka sehari.
  • Memasarkan produk di bawah jenama #keriagulamelakaHuda.
  • Dipasarkan sekitar Kota Kinabalu
  • Mempelajari cara membuatnya melalui YouTube
  • Idea diperoleh selepas melihat kejayaan kuih keria antarabangsa di Melaka
Berita Harian X