Khamis, 30 March 2017 | 12:05am
DUA peminat di SAHWC di perkarangan Warung Lebai Dollah, di Shah Alam. - Foto Samadi Ahmad
DUA pengunjung mendapatkan maklumat dari seorang penjual di SAHWC di perkarangan Warung Lebai Dollah. - Foto Samadi Ahmad
WARUNG Lebai Dollah menjadi tumpuan peminat Hot Wheels pada setiap malam minggu di Laman Seni, Seksyen 13, Shah Alam. - Foto Samadi Ahmad
WARUNG Lebai Dollah menjadi tumpuan peminat Hot Wheels. - Foto Samadi Ahmad
SEKUMPULAN peminat berbincang mengenai hobi yang diceburi di SAHWC di perkarangan Warung Lebai Dollah. - Foto Samadi Ahmad
PELBAGAI jenis koleksi Hot Wheels di Laman Seni, Seksyen 13, Shah Alam. - Foto Samadi Ahmad

Warung Lebai Dollah jadi 'port' SAHWC

SHAH ALAM: Pekarangan Warung Lebai Dollah, Laman Seni, Seksyen 13, di sini, menjadi tumpuan ratusan peminat kereta mainan 'Hot Wheels' dari sekitar kawasan ini, pada setiap malam minggu.

Walaupun hobi 'die cast' model kereta comel ini sudah dikembangkan ke beberapa produk seperti permainan cakera padat digital (DVD), gambar dan baju kemeja T, model kereta asas itu tetap menjadi kegilaan peminat tidak kira bangsa atau peringkat umur.

Penganjur Shah Alam Hot Wheels Collectors (SAHWC), Ashry Sukadi, berkata kawasan itu menjadi 'port' peminat Hot Wheels sejak dua bulan lalu berikutan ramai peminatnya tinggal di sekitar kawasan berkenaan.

Katanya, pada bulan pertama pembukaannya, ia kurang mendapat sambutan berikutan masih baru tetapi sekarang SAHWC menerima lebih 1,000 pengunjung pada setiap kali kegiatan dianjurkan.

Beliau berkata, mengumpul barangan 'die cast' khususnya replika model kereta mainan mahupun motosikal sering dianggap pembaziran kerana harganya yang tinggi selain hanya boleh dijadikan sebagai koleksi.


SEORANG daripada penganjur melepaskan kereta yang menyertai perlumbaan di trek yang disediakan di SAHWC, Shah Alam. - Foto Samadi Ahmad

PENGUNJUNG berpeluang menyertai perlumbaan kereta menggunakan trek yang disediakan penganjur dan setiap penyertaan dikenakan bayaran RM3. - Foto Samadi Ahmad

"Bagaimanapun, tanggapan itu berbeza bagi pengumpul 'die cast' yang menganggap hobi ini sebagai satu pelaburan yang menguntungkan pada masa depan.

"Kawasan ini juga dijadikan sebagai pusat pertemuan keluarga di mana pengunjung boleh menjamu selera sambil bertukar idea berkaitan hobi bersama rakan mahupun peminat yang baru berjinak-jinak dengan bidang ini.

"Pengunjung turut berpeluang menyertai perlumbaan kereta menggunakan trek yang disediakan penganjur dan setiap penyertaan dikenakan bayaran RM3 manakala pemenang akan menerima hadiah berupa model kereta keluaran terbaharu," katanya yang sudah tiga tahun menceburi hobi itu.

Ashry berkata, pengumpul model kereta juga boleh melakukan penukaran atau jualan kepada peminat lain mengikut harga rundingan berdasarkan model dan tahun buatan barangan yang ingin dijual.

Katanya, penganjur menyediakan trek perlumbaan selain gerai jualan barangan berkaitan model kereta 'die cast' yang diuruskan oleh peminatnya sendiri.

Seorang peminat, Muhamad Harith Irfan Mohamad Sinatra, 11, berkata beliau terpikat dengan hobi itu sejak berumur tujuh tahun dan permainan berkenaan sering dihadiahkan oleh bapanya, terutama ketika menyambut hari jadinya.


PENIAGA, Rizal Hazriq, 33, menunjukkan Hot Wheels yang dipasarkannya di SAHWC. - Foto Samadi Ahmad

WARUNG Lebai Dollah menjadi tumpuan peminat Hot Wheels pada setiap malam minggu. - Foto Samadi Ahmad

Pelajar Sekolah Kebangsaan Raja Muda, Shah Alam, itu berkata, sehingga kini dia sudah mengumpul lebih 100 model kereta yang diminatinya seperti Porsche, BMW, Ford dan Ferrari.

Katanya, setiap hari dia akan menyimpan sebahagian daripada wang belanja sekolah bagi membeli dan menambah koleksi kereta.

"Setiap koleksi berbeza. Kereta ini saya lihat sangat menarik dan mungkin akan mempunyai nilai yang tinggi suatu hari nanti sekiranya ia dijaga serta disimpan dengan baik," katanya.

INFO

  • Hot Wheels adalah permainan kereta kecil yang dikeluarkan Mattel Inc, Amerika Syarikat, kira-kira 50 tahun lalu dan mempunyai peminat di serata dunia.
  • Di SAHWC, pengunjung boleh mendapatkan aksesori dan pelbagai jenis serta bentuk kereta yang dijual pada harga serendah RM5 hingga ada yang mencecah RM2,000 mengikuti tahun model kereta itu dikeluarkan.
  • Selain di SAHWC, kegiatan sama turut diadakan di beberapa lokasi sekitar Lembah Klang, antaranya di Petaling Jaya pada Selasa, Gombak (Rabu) dan Kelana Jaya, Jumaat.
  • Program lazimnya bermula pada jam 9 malam dan berlarutan hingga jam 12 tengah malam.
Berita Harian X