Khamis, 11 Oktober 2018 | 6:43pm
LEE Zii Jia. - Arkib NSTP

Choong Hann harap Zii Jia terus belajar

KUALA LUMPUR: Bekas pemain perseorangan lelaki negara Wong Choong Hann menyeru agar juara baru Terbuka Taiwan, Lee Zii Jia terus belajar untuk memperbanyakkan lagi kemahiran untuk mudah menyusun pelbagai strategi berdepan mana-mana jaguh handalan dunia.

Menurutnya, dari segi semangat, keyakinan dan ketahanan jangka panjang, memang sudah tertanam dalam diri pemain kelahiran Kedah itu namun untuk menjadi seorang pemain sempurna banyak lagi perlu dipelajari. 

"Saya gembira melihat kejayaannya baru-baru ini di Taipei. Sebenarnya siapa saja pemain Malaysia yang muncul juara saya akan gembira melihatnya," katanya ketika ditemui selepas majlis memperkenalkan pemain Ampang Jaya Badminton Club hari ini.

Ujarnya, selain banyak perkara perlu dipelajari Zii Jia juga harus sentiasa menunjukkan perkembangan dan dalam masa sama kekal merendah diri.

"Teruskan untuk mencari pelbagai ilmu tambahan kerana saya tengok dia sudah mempunyai perwatakan yang sentiasa dahagakan kemenangan.

"Dalam perlawanan baru-baru ini saya nampak memang dia bersemangat dan sentiasa berusaha untuk memburu kemenangan. Ketika separuh akhir menentang Chou Tien Chen (Taiwan) dia bergelut untuk mencari kemenangan tapi dalam masa sama tidak berputus asa," katanya.

Choong Hann yang muncul juara Terbuka Taiwan pada 2003 mengharapkan agar Zii Jia terus kekal dengan tahap keyakinan tinggi dan tidak cepat berputus asa jika bertemu mana-mana pemain handalan dunia.

"Jika dia memperoleh beberapa kemahiran baru, selepas ini dia memiliki banyak pilihan untuk mengguna pakai strategi yang sesuai. Paling penting dia akan sentiasa matang," katanya.

Zii Jia muncul juara Terbuka Taiwan Ahad lalu selepas menumpaskan Riichi Takeshita dari Jepun, 21-17, 16-21, 21-11.

Dua lagi pemain yang pernah muncul juara kejohanan berkenaan ialah Datuk Misbun Sidek (1987) dan Datuk Lee Chong Wei (2004). 

577 dibaca
Berita Harian X