Khamis, 11 Oktober 2018 | 12:14pm
AKSI bintang tenis Sepanyol dan juga bekas juara Wimbledon serta Terbuka Perancis, Garbine Muruguza ketika menentang Ana Bogdan tenis Terbuka Hong Kong, awal pagi tadi. - Foto scmp.com

Muguruza, Cornet alami nasib berbeza

HONG KONG: Penangguhan perlawanan akibat hujan tidak menghalang Garbine Muruguza meneruskan kemaraan ke suku akhir tenis Terbuka Hong Kong dengan penuh bergaya, awal pagi tadi.

Ini selepas bintang tenis Sepanyol dan juga bekas juara Wimbledon serta Terbuka Perancis itu mudah menjinakkan pencabar dari Romania, Ana Bogdan 6-2, 6-1 di pusingan ketiga.

Kemenangan sempurna itu menyaksikan Muruguza kini hanya tewas tiga set sepanjang di sini sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai pemain pilihan kejohanan.

Faktor hujan lebat memaksa perlawanan ditangguh sehingga empat jam dan pemain ke-13 dunia itu hanya masuk ke gelanggang pada jam 10.21 malam waktu Hong Kong, namun beliau berkata ia tidak menjejaskan fokusnya.

"Ia hari yang begitu panjang, saya perlu menunggu lama sehingga pada satu ketika saya merasakan mungkin tidak akan beraksi hari ini," kata pemain pilihan keempat itu.

"Saya perlu sentiasa memastikan minda saya memikirkan untuk beraksi, sekali anda fikir anda tidak akan beraksi ia akan menjadi sukar untuk fizikal anda berhubung."

Terdahulu, pilihan kelapan kejohanan, Alize Cornet kecundang kepada pemain Thailand, Luksika Kumkhum 4-6 6-4 7-6 (7-5) dalam perlawanan yang dipenuhi drama apabila kedua-dua pemain gagal melakukan servis dengan baik.

Pemain Perancis di ranking ke-44 dunia itu yang bergelut hampir tiga jam di atas gelanggang, berkata: "Ia adalah perlawanan yang sangat gila, pada set pertama saya tidak boleh melakukan servis, pada set kedua pula tidak boleh menyelamatkan servis." - AFP

133 dibaca
Berita Harian X