Selasa, 9 Oktober 2018 | 11:18pm
VERDASCO mengherdik budak pengutip bola apabila lewat memberikannya tuala pengelap peluh. - Foto Twitter

Hormati budak pengutip bola

SHANGHAI: Pemain tenis perlu menghormati budak pengutip bola, menurut Roger Federer merujuk insiden membabitkan Fernando Verdasco.

Verdasco menjadi tumpuan dalam media sosial minggu lalu selepas mengherdik budak pengutip bola apabila lewat memberikannya tuala pengelap peluh ketika tewas dalam aksi separuh akhir Terbuka Shenzen.

Video pemain nombor 30 dunia itu yang tidak sabar dalam insiden itu tersebar di media sosial sekali gus mengundang kritikan netizen.

Bagaimanapun Federer enggan mengkritik Verdasco kerana dia tahu emosi pemain kadang kala sukar dikawal dalam sesuatu perlawanan tetapi tetap menekankan betapa budak pengutip bola perlu dihormati.

"Sudah pasti anda perlu selalu hormati mereka dan kerja yang dilakukan,” kata bintang Switzerland itu tetapi mengakui tidak mudah kepada setiap pemain untuk mengawal emosi mereka.

Federer sendiri pernah menjadi pengutip bola ketika remaja dan berpendapat ramai pengutip bola memahami tekanan dihadapi pemain tetapi ia penting untuk mereka mendapat pengalaman itu.

"Mereka penting kepada kami kerana siapa tahu mereka adalah bintang tenis masa depan,” kata Federer yang menyertai Shanghai Masters. - REUTERS

2827 dibaca
Berita Harian X