Selasa, 9 Oktober 2018 | 10:08pm
Novak Djokovic. - Foto AFP

Djokovic tiada masalah dominasi Chardy

SHANGHAI: Novak Djokovic menang kesemua 11 perlawanan menentang Jeremy Chardy sebelum ini dan pemain nombor tiga dunia itu meneruskan dominasinya di Shanghai Masters hari ini.

Bintang Serbia itu yang kembali menyengat tahun ini dengan menjuarai Wimbledon dan Terbuka Amerika Syarikat mematahkan servis pemain Perancis itu di ‘game’ kelima sebelum menang 6-3, 7-5 victory untuk mara ke pusingan ketiga.

Djokovic, 31, tidak diberi laluan mudah oleh Chardy pada set kedua sebelum pilihan kedua kejohanan itu menang dalam masa 83 minit.

Juara 14 kali Grand Slam itu tidak beraksi selama enam bulan pada 2017 dan menjalani pembedahan siku pada awal tahun ini.

Bagaimanapun dia bangkit dengan cemerlang dan kini mengintai ranking pertama dunia yang dihuni Rafael Nadal.

Bintang Sepanyol itu tidak berada di Shanghai kali ini akibat kecederaan. Dia tewas kepada Roger Federer pada final kejohanan sama tahun lalu.

Pilihan utama dan juara bertahan Federer memulakan kempen esok menentang pemain Russia Daniil Medvedev.

Sementara itu Nikoloz Basilashvili menunjukkan kejayaannya menjuarai Terbuka China minggu lalu bukan faktor tuah semata-mata apabila mudah menewaskan pemain meningkat naik Denis Shapovalov.

Ranking pemain Georgia itu melonjak ke tangga 23 dunia selepas menewaskan Juan Martin del Potro di Beijing, Ahad lalu sukar digugat apabila mudah menewaskan pemain remaja Kanada itu 6-2, 6-2 dalam masa 57 minit.

Basilashvili, 26, mempunyai satu lagi peluang mencipta kejutan apabila menentang pilihan keempat Alexander Zverev di Masters 1000 esok.

Kejayaan Basilashvili ke atas del Potro itu adalah trofi kedua ATP buat dirinya selepas Hamburg pada Julai lalu.

Del Potro yang juga pilihan ketiga mengalami selesema yang teruk di Beijing akan menentang pemain Perancis, Richard Gasquet.

Sidang akhbar pemain Argentina itu sepatutnya berlangsung hari ini tetapi tepaksa dibatalkan saat akhir, petanda tahap kesihatannya belum pulih. - AFP

71 dibaca
Berita Harian X