Selasa, 9 Oktober 2018 | 5:54pm
FEDERER merancang jadualnya dengan penuh berhati-hati sejak beberapa tahun kebelakangan ini. - Foto AFP

Federer sedia pertahan trofi Shanghai Masters

SHANGHAI: Roger Federer memberi amaran buat Novak Djokovic dan pencabar lain di Shanghai Masters hari ini, dia berada pada tahap terbaik biarpun musim yang panjang ini sudah mencapai kemuncaknya.

Pemain Switzerland berusia 37 tahun itu merancang jadualnya dengan penuh berhati-hati sejak beberapa tahun kebelakangan ini dengan  tidak menyertai musim kejohanan tanah liat sejak 2017 untuk membantu dirinya yang semakin berusia.

Percaturannya ternyata menjadi dan juara Grand Slam 20 kali itu memulakan kempen mempertahankan gelaran Shanghai Masters minggu ini pada tahap terbaik.

Pemain nombor dua dunia itu beraksi cemerlang pada Piala Laver di Chicago dua minggu lalu, selepas kekalahan mengejut kepada pemain Australia John Millman pada peringkat 16 terakhir Terbuka AS.

“Perkara baiknya adalah selepas berasa lega sewaktu latihan, saya beraksi dengan baik pada Piala Laver, juga berehat seketika selepas Terbuka AS,” kata Federer.

Cabaran utama pemain Switzerland itu pastinya hadir daripada pemain nombor tiga dunia, Djokovic yang juga pada tahap terbaik dan pemain di ranking keempat Juan Martin del Potro.

Pemain nombor satu dunia Rafael Nadal yang tewas pada final kejohanan Masters 1000 tidak menyertainya susulan kecederaan.

Del Potro yang mengalami selesema ketika tewas pada final Terbuka China kepada pemain bukan pilihan Nikoloz Basilashvili, berkata di Beijing minggu lalu, dia keletihan.

Namun perkara itu tidak mendatangkan masalah buat Federer yang tujuh tahun lebih tua daripada pemain Argentina itu.

“Saya berada pada tahap yang saya mahukan,” kata Federer. - AFP 

116 dibaca
Berita Harian X