Selasa, 9 Oktober 2018 | 3:45pm
MOHAMAD Norza Zakaria. - Foto Owee Ah Chun

Jangan ganggu emosi Chong Wei

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak mahu mengganggu ‘privacy’ jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei sehingga pemain itu sendiri bersedia tampil menjelaskan perkembangan terkini.

Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria sekali lagi mengulangi ruang peribadi Chong Wei perlu dihormati dan berharap tiada pihak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh mengganggu emosi pemain itu ketika ini.

“Saya akan melawat beliau (Chong Wei) di rumah dan berbincang dengan Chong Wei mengenai tindakan seterusnya. Kami hormat ‘privacy’ (beliau) dan keluarganya ketika ini. Sudah pasti selepas mendapat persetujuan Chong Wei, kami akan berikan maklum balas menerusi sidang media.

“Kita akan terus menyokong Chong Wei dan menghormati setiap keputusan yang dibuat. Paling penting adalah mahu melihat beliau pulih seperti sedia kala,” katanya ketika dihubungi.

Chong Wei yang disahkan menghidap kanser hidung tahap pertama sudah selesai menjalani rawatan hampir lebih dua bulan dan dibenarkan pulang ke tanah air oleh doktor yang merawatnya di Taiwan pada Ahad.

Chong Wei juga memberi maklum balas pada Ahad, akan mengadakan sidang media dalam masa terdekat dan meminta pihak media hormati ruang peribadinya ketika ini.

Mengulas mengenai pemain muda perseorangan, Lee Zia Jia yang menamatkan kemarau 14 tahun merangkul kejuaraan Terbuka Taiwan pada Ahad, Mohamad Norza berkata ia adalah satu pencapaian cemerlang tetapi perlu konsisten dari semasa ke semasa.

Kemenangan itu belum cukup untuk menyifatkan BAM sudah jumpa pengganti Chong Wei kerana masih banyak cabaran yang perlu dilalui seseorang pemain untuk kekal konsisten.

“Pertama sekali, tidak boleh dinafikan ia satu kejayaan cemerlang diraih Lee Zii Jia apabila menjuarai Terbuka Taiwan. Beliau masih muda, beri masa kepada dia untuk mengembangkan kariernya. BAM tidak mahu memberikan tekanan kepadanya.

“Kejayaan itu memberikan sinar baharu dalam arena badminton negara. Ini adalah perkembangan positif prestasi pemain muda. Pemain pelapis semakin serius dalam menuju matlamat mereka,” katanya.

Kali terakhir Malaysia menjuarai Terbuka Taiwan pada 2004 menerusi Chong Wei. Dua lagi pemain perseorangan yang memenangi kejohanan sama adalah Datuk Misbun Sidek (1987) dan Wong Choong Hann (2003). - BERNAMA

314 dibaca
Berita Harian X