Selasa, 9 Oktober 2018 | 2:39pm
PEMAIN tenis Australia, Nick Kyrgios. - Foto AFP

Sikap buruk Kyrgios undang tumpuan pengadil

 MELBOURNE: Sikap panas baran dan kelakuan buruk pemain tenis Australia, Nick Kyrgios sebelum ini akan membuatkan pengadil lebih memberi tumpuan kepadanya berbanding lawannya, kata rakan senegara, Todd Woodbridge.

Pemain berusia 23 tahun itu terbabit dalam pertikaian dengan pegawai dari Perancis, Damien Dumusois ketika tewas mengejut pada pusingan pertama kepada pemain kelayakan Amerika Syarikat (AS), Bradley Klahn di Shanghai Masters, semalam.

Dumusois memaklumkan kepada Kyrgios, satu mata diberikan pada set kedua kerana bola "memang terkena garisan", yang menyebabkan pemain Australia itu bengang dan berkata "saya tak peduli".

Woodbridge berkata hari ini, Kyrgios sendiri mencipta sesuatu yang menyebabkan dia lebih diberikan tumpuan.

"Memang menarik melihatnya, pengadil melihatnya dengan lebih dekat berbanding pemain lain," kata Woodbridge kepada wartawan pada acara sempena Terbuka Australia, tahun depan.

"Sedikit daripadanya dibawa sendiri olehnya. Adil untuk berkata dia sentiasa terbabit dalam perkara itu."

Kyrgios, yang tewas 4-6 6-4 6-3 kepada Klahn, sebelum ini terbabit dalam kontroversi pada acara yang sama.

Tahun lalu dia didenda AS$10,000 (RM41,565) dan dilucutkan hak mendapat cek apabila tidak meneruskan permainan selepas kalah set pertama kepada Steve Johnson.

Pada 2016, dia digantung daripada lapan kejohanan dan didenda secara keseluruhan AS$41,500 (RM172,494) selepas dia tewas 6-3, 6-1 di tangan Mischa Zverev pada pusingan kedua. - Reuters

238 dibaca
Berita Harian X