Jumaat, 14 September 2018 | 10:09pm
Aksi pemain Pulau Pinang, Tan Jia Wei menentang pemain Wilayah Persekutuan, Muhammad Aiman acara badminton berpasukan lelaki akhir pada SUKMA Perak 2018 di Arena Badminton, Ipoh. - Foto Abdullah Yusof

Pulau Pinang akhiri kemarau 18 tahun

IPOH: Kemarau 18 tahun skuad badminton Pulau Pinang untuk meraih pingat emas dalam acara berpasukan Sukan Malaysia (SUKMA) berakhir apabila menewaskan Wilayah Persekutuan 3-0 pada pertarungan final, hari ini.

Kejayaan itu harus bersejarah dan bermakna kerana kali terakhir skuad Pulau Mutiara mengungguli acara itu ketika jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei beraksi pada SUKMA 2000 di laman sendiri.

Malah, ia menebus kekecewaan mereka tewas di final dua tahun lalu kepada Selangor 0-3 dan jurulatih Razlan Rajan sendiri seakan-akan hilang kata-kata ketika diminta mengulas mengenai kejayaan anak buahnya.

Bagaimanapun, kejayaan itu sudah diramal berikutan Pulau Pinang membariskan juara kebangsaan Yoeh Seng Zoe selaku perseorangan pertama manakala dua pemain kebangsaan Tan Jia Wei dan Cheam June Wei sebagai perseorangan kedua dan ketiga.

Bagi Seng Zoe yang kini bersama kelab Sports Affairs di bawah bimbingan Rashid Sidek berkata, dia gembira dapat memberi mata pertama apabila menewaskan juara remaja Asia, Leong Jun Hao dalam pertarungan tiga set 21-18, 17-21, 22-20. 

"Saya tewas kepada Jun Hao ketika peringkat kumpulan. Saya tengok semula video kaji balik macam mana corak permainannya dan hari ini kemenangan berpihak kepada saya. 

"Sebelum saya cedera lutut dua tahun lalu, rekod pertemuan ke atas Jun Hao memihak kepada saya. Saya hanya tewas kali pertama kepadanya di peringkat kumpulan tempoh hari dan saya dijangka bertemu dengannya sekali lagi dalam acara perseorangan nanti," katanya.

Jia Wei kemudian memberikan mata kedua dengan menundukkan Muhammad Aiman Abdul Malek  21-8, 21-15 sebelum June Wei memastikan kemenangan dengan mengalahkan Lim Chong King 21-12, 21-15.

Sementara itu, gangsa menjadi milik bersama Negeri Sembilan dan Selangor. 

561 dibaca
Berita Harian X