Khamis, 17 Mei 2018 | 4:07pm
KETUA jurulatih perseorangan negara, Datuk Misbun Sidek (kiri) berbual bersama pemain perseorangan lelaki negara, Iskandar Zulkanain Zainudin sebelum berangkat bersama Pasukan badminton lelaki dan wanita negara ke Bangkok bagi menyertai kejohanan pusingan akhir Piala Thomas dan Uber di KLIA2. Turut ikut sama Datuk Jalaini Sidek (tiga kanan) serta ketua jurulatih beregu negara, Cheah Soon Kit (kanan). - Foto Owee Ah Chun

Soon Kit miliki senjata rahsia

SEPANG: Ketua jurulatih beregu lelaki negara, Cheah Soon Kit tidak sabar menggunakan pelbagai 'senjata' menjelang saingan Piala Thomas yang akan membuka tirainya di Bangkok, Ahad ini.

 

Menurutnya, pelbagai kombinasi pemain yang boleh diguna pakai bakal menjadikan senjata Malaysia untuk memerangkap pasukan lawan sekali gus membolehkan beregu mampu menyumbang mata kepada pasukan. 

"Ya, memang kita ada banyak senjata dan saya harap ia adalah senjata yang bagus," kata Soon Kit yang berlepas bersama skuad Piala Thomas dan Uber ke Bangkok di Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), hari ini.

Jelasnya, antara senjata yang boleh diguna pakai di Piala Thomas nanti ialah menggandingkan Teo Ee Yi bersama Goh V Shem selepas kedua-duanya sempat bergandingan dalam tempoh beberapa bulan tahun lalu. 

Ee Yi yang tidak bersama gandingannya, Ong Yew Sin dan sama seperti Arif Latif tanpa Azriyn Ayub juga mampu menjadi senjata ampuh buat skuad negara, sama ada mereka bergandingan bersama atau digandingkan dengan mana-mana pemain lain. 

"Sebelum kembali bergandingan, V Shem-Tan Wee Kiong tahun lalu sudah mempunyai pengalaman bergandingan dengan pemain lain, jadi memang saya mempunyai banyak pilihan untuk digunakan dalam kejohanan ini. 

"Saya akui Denmark juga tidak dapat menurunkan beberapa pemain utama seperti Carsten Mogensen, jadi ia akan menjadi misteri buat pasukan lain. Begitu juga kita, mereka masih belum tahu siapa pasangan kedua yang akan kita turunkan," kata Soon Kit.  

Ditanya mengenai gandingan muda, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Soon Kit yang pernah membantu skuad negara menjulang Piala Thomas 1992 berkata, peluang tetap ada buat kedua-dua pemain itu untuk merasai sendiri pengalaman bermain dalam saingan trofi berprestij itu. 

"Sudah tentu mereka akan diturunkan dan mereka adalah gandingan muda terbaik negara. Peluang tetap ada buat mereka kerana dalam Kumpulan D, kiat masih ada pasukan seperti Russia dan Algeria. 

"Semangat sepasukan juga setakat ini sangat bagus. Laporan yang saya terima daripada penganjur kem latihan pusat memang memberangsangkan dan saya harap mereka mampu meneruskan momentum di Bangkok," katanya. 

Selain pemain beregu, skuad kali ini juga dibarisi empat pemain perseorangan termasuk ketua pasukan, Datuk Lee Chong Wei, Lee Zii Jia, Iskandar Zulkarnain Zainuddin dan Leong Jun Hao.

919 dibaca
Berita Harian X