Isnin, 16 April 2018 | 5:27pm
PASANGAN beregu wanita, Chow Mei Kuan dan Vivian Hoo mampu menjadi 'senjata rahsia' skuad badminton wanita negara di Bangkok, Mei ini. - Foto Yazit Razali

Vivian-Mei Kuan 'senjata terbaru' negara

KUALA LUMPUR: Pasangan bidan terjun, Vivian Hoo-Chow Mei Kuan mampu menjadi 'senjata rahsia' skuad badminton wanita negara menjelang pusingan akhir Piala Uber di Bangkok, Thailand yang bermula 20 hingga 27 Mei ini.

Ketua jurulatih beregu wanita, Rosman Razak berkata, aksi cemerlang dipamerkan gandingan itu ketika memenangi pingat emas Sukan Komanwel, semalam memberikan dirinya lebih banyak pilihan bagi menentukan barisan beregu yang akan diturunkan di Bangkok nanti berdasarkan kekuatan dan kelemahan setiap lawan yang ditemui.

Vivian-Mei Kuan cemerlang apabila meraih emas acara beregu di Gold Coast selepas menewaskan pasangan England, Lauren Smith-Sarah Walker 21-12, 21-12 dalam aksi final.

"Saya gembira melihat prestasi mereka sepanjang Sukan Komanwel memandangkan mereka hanya digandingkan sebulan sebelum temasya itu. Keputusan untuk menggandingkan Vivian dengan Mei Kuan selepas Woon Khe Wei cedera adalah berdasarkan kekuatan individu yang dimiliki mereka.

"Disebabkan masa terlalu singkat, kami tidak boleh terlalu melihat kepada keserasian. Boleh dikatakan kami hanya menggandingkan mereka tanpa terlalu fikir mengenai risikonya.

"Namun, kedua-duanya beraksi dengan baik dan berjaya memenangi emas. Sudah pasti, gandingan mereka ini memberi lebih banyak pilihan kepada saya untuk menurunkan beregu terbaik pada Piala Uber nanti.

"Kami sudah tahu siapa lawan yang akan kita temui nanti dalam aksi kumpulan, jadi kami boleh mengatur strategi bermula dari sekarang berdasarkan kekuatan pihak lawan nanti," kata Rosman.

Di Bangkok, skuad wanita negara diundi dalam Kumpulan D bersama juara bertahan, China, Indonesia dan Perancis.

Rosman berkata, sebagai persiapan ke Piala Uber, dia akan terus melakukan eksperimen dengan menggandingkan Vivian bersama Goh Yea Ching pada saingan Terbuka New Zealand yang bermula 1 hingga 6 Mei ini.

"Mei Kuan akan kembali bersama gandingan asalnya, Lee Meng Yean. Cuma, Vivian akan digandingkan dengan Yea Ching di New Zealand kerana Khe Wei masih lagi dalam proses pemulihan.

"Ini juga sebagai salah satu persiapan beregu wanita untuk menghadapi Piala Uber. Lebih banyak pilihan kombinasi yang kita ada, lebih bagus untuk pasukan. Saya akan nilai setiap pasangan sama ada mereka bersedia atau tidak," kata Rosman.

1040 dibaca
Berita Harian X