Isnin, 16 April 2018 | 5:09pm
SOO Teck Zhi antara pemain yang disebut-sebut sebelum ini bagi menggantikan tempat Datuk Lee Chong Wei wajar digugurkan kerana masih bergelut untuk menyerlah di pentas antarabangsa. - Foto Asyraf Hamzah

BAM perlu lakukan 'proses pemutihan'

KUALA LUMPUR: Sudah tiba masanya Persatuan Badminton Malaysia (BAM) melakukan 'proses pemutihan' dengan menggugurkan pemain perseorangan lelaki yang boleh dianggap liabiliti dalam kem negara. 

Berdasarkan peningkatan mendadak yang ditunjukkan negara lain dalam acara utama itu, BAM tidak boleh membuang masa dengan terus memberi peluang kepada pemain yang gagal mencapai prestasi yang diharapkan. 

Tanpa berselindung, seorang bekas pemain kebangsaan yang enggan namanya didedahkan, berkata pemain seperti Soo Teck Zhi, Soong Joo Ven, Chong Yee Han dan Lim Chi Wing wajar digugurkan kerana sehingga sekarang masih bergelut untuk menyerlah di pentas antarabangsa. 

"Jika mereka ini masih berada dalam skuad negara, macam mana pemain yang lebih muda termasuk dari SSBJ (Sekolah Sukan Bukit Jalil) mahu naik. Kita seharusnya sudah mula memberi peluang kepada muka baharu untuk buktikan kemampuan. 

"Kalau kejohanan bertaraf Siri Antarabangsa pun kalah di pusingan pertama, apa yang kita boleh harapkan daripada mereka? Sudah lebih lima tahun mereka berada dalam skuad negara, tetapi prestasi tetap sama. 

"BAM perlu bertindak tegas, saya fikir adalah baik jika kita mencontohi sistem yang digunakan di Indonesia. Mana-mana pemain yang gagal, mereka akan digugurkan tetapi jika mereka berjaya tunjuk peningkatan di luar, mereka akan diserapkan semula. 

"Di Malaysia, pemain sudah terlalu selesa. Jika mereka kalah sekalipun, mereka masih ada dalam BAM dan menikmati segala kemudahan," katanya. 

Teck Zhi, 22, antara pemain yang disebut-sebut sebelum ini bagi menggantikan tempat Datuk Lee Chong Wei susulan kejayaannya meraih gelaran juara remaja Asia 2013 tetapi selepas itu dia tenggelam dengan pencapaian terbaiknya adalah naib juara Siri Antarabangsa Singapura 2015. 

Chi Wing, 23, yang muncul juara kebangsaan pada 2017 dan 2016 masih bergelut di pentas antarabangsa biarpun berjaya menjadi juara Cabaran Antarabangsa Bangladesh dan Siri Antarabangsa Vietnam dua tahun sebelum itu. 

Joo Ven yang berusia 22 tahun dan diberi peluang beraksi pada saingan Kejohanan Berpasukan Asia di Kedah, Februari lalu turut gagal mencapai apa yang diharapkan, malah dia hanya muncul naib juara Terbuka Scotland 2016 manakala Yee Han, 23, yang menyertai skuad kebangsaan sejak 2013 tiada pencapaian yang boleh diperkatakan. 

Situasi acara perseorangan lelaki negara benar-benar kritikal sehinggakan negara masih mengharapkan Chong Wei yang sudah berusia 36 tahun menyumbang emas pada Sukan Komanwel. 

Chong Wei membuktikan dia masih yang terbaik dalam negara apabila meraih emas selepas menewaskan pemain India, K Srikanth 19-21, 21-14, 21-14 dalam aksi final di Gold Coast, Australia, semalam. 

Mengulas lanjut, bekas pemain itu berkata, BAM tidak perlu bimbang mengenai kekurangan pemain untuk dijadikan rakan sepelatih kerana badan induk itu boleh memberi peluang kepada pemain muda terutama dari SSBJ. 

"Inilah masanya untuk beri pendedahan kepada pemain muda menjalani latihan dengan pemain senior seperti Chong Wei sekali gus dapat mempercepatkan kematangan corak permainan mereka," katanya.

1484 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »