Ahad, 15 April 2018 | 11:13am
REAKSI Chong Wei selepas menewaskan pemain India, Srikanth Kidambi. - Foto YAZIT RAZALI

Chong Wei menang emas

GOLD COAST: Datuk Lee Chong Wei memberi pengajaran kepada pemain nombor satu dunia, K Srikanth apabila memenangi pingat emas ketiganya pada temasya Sukan Komanwel dalam acara perseorangan lelaki di Pusat Riadah dan Sukan Carrara, di sini, sebentar tadi.

Pemain berusia 36 tahun itu bangkit daripada kekalahan di set pertama sebelum menang dalam aksi tiga set 19-21, 21-14, 21- 14 ke atas pemain berusia 25 tahun dari India itu.

Ia adalah kemenangan kelima Chong Wei yang diletakkan pilihan kedua temasya Sukan Komanwel Gold Coast 2018 ke atas Srikanth yang diletakkan pilihan utama di sini, daripada enam pertemuan mereka sebelum ini.

Dengan kemenangan itu, Chong Wei menutup penampilan terakhirnya di Sukan Komanwel dengan rekod tanpa kalah dalam 13 perlawanan sejak tiga edisi lalu.

Selain Gold Coast, pemain kelahiran Pulau Pinang itu turut memenangi pingat emas di edisi 2006 di Melbourne dan 2010 (New Delhi) tetapi tidak beraksi pada 2014 di Glasgow, Scotland.

Chong Wei turut menyertai rekod yang dipegang bekas pemain beregu negara, Koo Kien Keat sebagai atlet paling cemerlang di temasya Komanwel dengan memenangi lima pingat emas.

Pada set pertama, pemain di ranking tujuh dunia itu bermula dengan baik apabila mendahului 5-0 dengan deretan smash kencang tetapi Srikanth menggunakan kepantasannya untuk mendahului 11-9 sebelum meraih kemenangan.

Perlawanan set kedua berlangsung penuh sengit dengan Srikanth memaksa Chong Wei mengerahkan segala keringat dan pengalamannya sebelum bekas pemain nombor satu dunia itu cemerlang membawa perlawanan ke set penentuan.

Di set ketiga, Chong Wei seperti berada di kelas yang berbeza apabila pada satu ketika mendahului 11-5 sebelum Srikanth yang tampak gugup akhirnya tumbang.


DATUK Lee Chong Wei cuba membalas pukulan pemain India, Srikanth Kidambi pada aksi final badminton perseorangan lelaki, sebentar tadi. - Foto REUTERS

10947 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »