Selasa, 13 March 2018 | 6:09pm
JURULATIH perseorangan lelaki negara, Hendrawan mengakui ini adalah kali pertama Chong Wei akan melakukan pukulan servis mengikut peraturan baharu. - Foto Osman Adnan

Hendrawan bimbang servis baharu jejas Chong Wei

KUALA LUMPUR: Jurulatih perseorangan lelaki negara, Hendrawan, mengakui bimbang peraturan pukulan servis baharu yang diperkenalkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) bakal memberi kesan ke atas anak buahnya, Datuk Lee Chong Wei yang akan memulakan aksi Seluruh England, esok.

Jurulatih dari Indonesia itu, berkata ini adalah kali pertama Chong Wei akan melakukan pukulan servis mengikut peraturan baharu dan pastinya ia akan mendatangkan sedikit kesukaran buat pemain nombor dua dunia itu.

"Sudah pasti saya sedikit bimbang mengenai perkara ini (peraturan pukulan servis yang baharu), ini adalah kali pertama Chong Wei akan lakukannya. Dari aspek persiapan dan keadaan fizikal dia semuanya baik.

"Cuma, saya bimbang jika peraturan baharu ini akan memberi kesan kepada dia. Saya tidak boleh komen panjang kerana ini ia masih baharu, kita tunggu dan lihat ketika perlawanan nanti.

"Apa pun, kita akan cuba untuk sesuaikan dengan peraturan baharu itu. Saya harap Chong Wei boleh kekal fokus dan tidak terjejas dengan perkara ini," kata Hendrawan ketika dihubungi di Birmingham, hari ini.

Peraturan baharu yang diperkenalkan BWF itu menyaksikan pemain perlu memastikan bulu tangkis perlu berada pada ketinggian tidak melebihi 1.15 meter daripada permukaan gelanggang ketika mahu melakukan pukulan servis.

Sebelum ini BWF menetapkan ia tidak boleh melebihi 1.1 meter.

Peraturan baharu itu mula digunakan ketika saingan Terbuka Jerman minggu lalu dan menimbulkan kemarahan dalam kalangan pemain badminton dunia terutama yang memiliki fizikal lebih tinggi termasuk pemenang pingat emas Olimpik dua kali, Lin Dan dari China.

Mengulas lanjut, Hendrawan mengakui Chong Wei yang akan membuka tirai saingan menentang pemain Brazil, Ygor Coelho berdepan laluan sukar dalam misinya untuk mempertahankan gelaran juara dimenangi tahun lalu sekali gus meraih kejuaraan kelima.

"Berdasarkan undian, memang agak sukar untuk Chong Wei tetapi seperti yang saya sering katakan, saya mahu dia fokus satu demi satu perlawanan," katanya.

Jika melepasi pusingan pertama dia dijangka bertemu pemain Denmark, Jan O Jorgensen sebelum musuh tradisi Lin Dan dari China menantinya di suku akhir.

Pemain berusia 36 tahun itu turun dengan misi untuk mencipta sejarah menjadi pemain Malaysia yang paling banyak menjuarai kejohanan berprestij berkenaan jika berjaya muncul juara pada edisi kali ini - ia akan menjadi yang kelima selepas melakukannya pada 2010, 2011, 2014 dan 2017.

Selepas menjuarai edisi tahun lalu, Chong Wei berjaya menyamai rekod Wong Peng Soon dan Datuk Eddy Choong merangkul kejuaraan perseorangan lelaki dalam saingan Seluruh England sebanyak empat kali.

2251 dibaca
Berita Harian X