Selasa, 13 March 2018 | 11:24am
PEMINAT tenis memakai topeng muka ketika menonton aksi Federer dan Krajinovic. FOTO/AFP

Federer makin garang

INDIAN WELLS, Amerika Syarikat: Pemain nombor satu dunia Roger Federer meneruskan misi menjulang kejuaraan keenam Masters Indian Wells dengan membelasah Filip Krajinovic 6-2, 6-1 hari ini.

Bintang berusia 36 tahun itu tidak menunjukkan kesan peningkatan usia apabila hanya memerlukan 58 minit untuk menundukkan pemain Serbia dengan aksi terbaiknya.

"Saya fikir dia tidak suka cara pukulan saya dan saya juga mempelbagaikan dropshot," kata Federer, yang melebarkan rekod kemenangan musim ini kepada 14-0.

"Saya berjaya menggabungkan gaya permainan dan perkara ini menyukarkannya.

"Pada masa sama, saya berseronok dengan permainan saya, mempelbagaikan gaya permainan namun kekal menyerang sepanjang masa."

Federer melakukan enam ace, satu double fault dan menang 89 peratus daripada mata servis pertama, hanya hilang tiga mata daripada servisnya sepanjang  perlawanan itu.


FEDERER membalas pukulan Krajinovic. FOTO/AFP

"Saya bermain garang hari ini dan ia menyeronokkan," kata Federer. "Jadi saya gembira dengan perjalanan hari ini."

Federer, juara bertahan dan cuba menjuarai kejohanan di California sebanyak enam kali, beraksi buat hari ketiga berturut-turut.

Perlawanan pertamanya menentang Federico Delbonis pada Sabtu malam dibawa ke tengahari Ahad selepas hujan lebat memaksa beberapa perlawanan ditangguhkan. 

 

"Anda perlu bersiap sedia untuknya, itulah yang dilakukan pemain tenis. Kami tunggu dan bermain, kami tunggu dan bermain lagi," kata Federer.

Pada pusingan berikutnya Roger akan menentang Jeremy Chardy, yang menewaskan seorang lagi pemain Perancis Adrian Mannarino 7-5, 4-6, 6-1.

 

 

580 dibaca
Berita Harian X