Sabtu, 24 Februari 2018 | 5:56pm

Dua pemain disyaki mengatur perlawanan lantik peguam

KUALA LUMPUR: Dua pemain badminton profesional yang disyaki terbabit dengan skandal mengatur perlawanan masing-masing difahamkan sudah melantik peguam bagi membela diri.

 Kedua-dua pemain berkenaan akan menghadiri sesi sebutan kes yang dijalankan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada Isnin dan Selasa ini di Singapura secara berasingan.

 

Menurut sumber, langkah diambil kedua-dua pemain itu tepat kerana mereka perlu mempertahankan diri daripada tuduhan yang dianggap sebagai kes jenayah itu selain masa depan kerjaya mereka kini menjadi pertaruhan.

 "BWF memang memandang serius kes ini, malah ini adalah kes pertama yang dikendalikan mereka membabitkan skandal mengatur perlawanan.

 "Berdasarkan peraturan BWF, jika mana-mana pemain didapati bersalah mengatur perlawanan, hukumannya adalah gantung seumur hidup. Ini situasi yang cukup sukar buat kedua-dua pemain berkenaan.

 "Selama ini badminton adalah sumber pendapatan mereka termasuk menampung perbelanjaan keluarga. Jika tidak lagi bermain, apa lagi sumber pendapatan mereka selain nama sudah tercemar," kata sumber itu ketika dihubungi, hari ini.

 Minggu lalu, dalam satu laporan eksklusif Sukan NSTP mendedahkan seorang pemain profesional Malaysia sedang disiasat BWF atas dakwaan mengatur perlawanan.

 BAM kemudian mengesahkan bukan seorang tetapi dua pemain di luar badan induk itu digantung sementara daripada menyertai mana-mana kejohanan oleh BWF.

 Mengulas lanjut, sumber berkenaan bagaimanapun berkata, BWF difahamkan sudah mempunyai bukti yang cukup untuk mendakwa kedua-dua pemain berkenaan.

 "Kebiasaannya, apabila BWF sudah membuat keputusan untuk mengadakan sesi sebutan kes, mereka sudah mempunyai 75 peratus bukti yang kukuh untuk menjalankan pendakwaan. Jadi, terpeluang kepada kebijaksanaan peguam kedua-dua pemain terbabit untuk membantu mereka mempertahankan diri," katanya.

Difahamkan, antara bukti utama diperoleh BWF daripada salah seorang pemain terbabit adalah hasil pemeriksaan ke atas telefon bimbitnya yang mempunyai kandungan mesej dalam aplikasi Whatsapp yang menjurus kepada kegiatan mengatur perlawanan.

 Namun, jika BWF tidak mempunyai kebenaran yang sah daripada pihak berkuasa untuk melakukan pemeriksaan ke atas telefon bimbit itu, ia adalah peluang untuk peguam mempertahankan pemain terbabit.

1557 dibaca
Berita Harian X