Sabtu, 24 Februari 2018 | 5:22pm

Bukan sekadar pemerhati

KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Jadadish Chandra bukan hanya akan menjadi sebagai pemerhati malah bersedia untuk membawa pulang segala maklumat menjelang sesi pendengaran oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) membabitkan dua pemain badminton profesional negara.

Menurutnya, beliau akan menyediakan satu laporan lengkap mengenai sesi pendengaran membabitkan kes mengatur perlawanan itu dan menyerahkan kepada Majlis BAM.

"Ia sebagai satu langkah untuk di peringkat kita bagi memastikan bagaimana jalan terbaik bagi membanteras gejala mengatur perlawanan ini," katanya yang juga ahli Jawatankuasa Peraturan dan Disiplin.

Sesi pendengaran yang akan diadakan di Singapura itu berlangsung pada 26 dan 27 Februari ini. 

"Saya di sana akan menjadi sebagai pemerhati seperti mana yang diterangkan oleh BAM sebelum ini bagi memastikan segala proses berjalan mengikut prosedur.

"Kita juga boleh melihat segala bukti yang bakal dibentangkan oleh BWF dan melihat bagaimana dua pemain berkenaan mempertahankan diri mereka," kata Chandra.

Ujarnya, walaupun beliau tidak boleh untuk berinteraksi dengan kedua-dua pemain berkenaan namun segala butiran berhak diketahuinya.

"Mana-mana peguam yang menghadiri tribunal bukan saja dibenarkan untuk menjadi pemerhati tapi bertanyakan soalan dengan kebenaran pengerusi," katanya.

Minggu lalu dalam satu laporan eksklusif, Sukan NSTP mendedahkan seorang pemain profesional Malaysia yang pernah beraksi dalam di kejohanan utama seperti Seluruh England dan Kejohanan Dunia, sedang disiasat BWF atas dakwaan mengatur perlawanan. 

BAM kemudian mengesahkan bukan seorang tetapi dua pemain di luar badan induk itu digantung sementara daripada menyertai mana-mana kejohanan BWF.

554 dibaca
Berita Harian X