Jumaat, 23 Februari 2018 | 5:47pm
PRESIDEN BAM, Datuk Seri Norza Zakaria menegaskan sasaran tiga pingat emas di Sukan Komamwel tetap tidak berubah walaupun berlaku pertukaran pemain. - Foto Luqman Hakim Zubir

BAM kekal sasaran tiga emas

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM),  Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria menegaskan sasaran tiga pingat emas yang ditetapkan badan induk itu pada Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia April ini tetap tidak berubah walaupun berlaku pertukaran pemain.

"Tidak berubah. Kita tidak pernah mengubahnya (sasaran yang ditetapkan)," kata Norza ketika ditemui sempena lawan ketua kontinjen negara ke Sukan Komanwel, Huang Ying How di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara hari ini. 

Empat tahun lalu, skuad badminton berjaya meraih tiga emas melalui gandingan beregu lelaki, Goh V Shem-Tan Wee Kiong, Vivian Hoo-Woon Khe Wei (beregu wanita) dan berpasukan campuran. 

Kehadiran Datuk Lee Chong Wei dalam acara perseorangan lelaki dan aksi konsisten beregu campuran, skuad badminton dijangka tidak berdepan masalah melepasi sasaran emas yang ditetapkan itu walaupun Vivian bakal bergandingan bersama Chow Mei Kuan kerana kecederaan yang dialami Khe Wei. 

"Kita sedar dengan kemampuan terkini yang ditunjukkan India dan England tapi kita akan melakukan persiapan rapi untuk berdepan cabaran berkenaan. Salah satu sasaran kita untuk mengekalkan emas acara berpasukan campuran. 

"Buat masa sekarang kita masih kekal dengan barisan yang sama kecuali ketua jurulatih perseorangan wanita, Datuk Tey Seu Bock yang masih memikirkan sama ada Goh Jin Wei atau Soniia Cheah akan beraksi di temasya itu," katanya. 

Menurut Norza, selain perubahan membabitkan Khe Wei, BAM juga menukar gandingan beregu campuran dengan menggugurkan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dan menyenaraikan Goh Soon Huat-Shevon Lai. 

"Barisan pemain seakan sudah dimuktamadkan, cuma sekarang ini masih ada lagi beberapa kejohanan berlangsung dan berharap tidak berlaku sebarang perkara tidak diingini berlaku pada saat akhir," katanya.

349 dibaca
Berita Harian X