Khamis, 22 Februari 2018 | 5:17pm
JAHABERDEEN akan mengadakan pertemuan dengan wakil SPRM bagi membincangkan kerjasam kedua pihak dalam membanteras bookie. -Foto fail

BAM jalin kerjasama dengan SPRM perangi bookie

KUALA LUMPUR: Pemain badminton negara yang mahu terbabit dengan kegiataan mengatur perlawanan selepas ini harus berfikir dua kali.

Ini kerana, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akan menjalin kerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memerangi kegiatan mengatur perlawanan dalam kalangan pemain negara secara habis-habisan.

Pengerusi Jawatankuasa Peraturan dan Disiplin BAM, Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan SPRM bulan depan bagi membincangkan kerjasama antara kedua-dua pihak dalam usaha membanteras kegiatan tidak bermoral itu.

"Ketika ini kami dalam proses mengenal pasti langkah menangani cabaran (kegiatan mengatur perlawanan) berkenaan. Bulan depan, Jawatankuasa Peraturan dan Disiplin BAM yang dipengerusikan oleh saya akan mengadakan mesyuarat lanjutan untuk perbincangan lanjut mengenai isu ini.

"Isu ini kompleks kerana membabitkan pihak ketiga dan kemungkinan besar kami juga akan adakan pertemuan dengan SPRM bagi memperoleh idea dan kerjasama.

"Masalah mengatur perlawanan ini merosakkan semangat kesukanan. Insya-Allah dalam bulan April nanti kami boleh umumkan apakah strategi BAM dalam menghadapi kemelut ini," katanya ketika dihubungi hari ini.

Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria semalam memaklumkan beliau sudah meminta Jahaberdeen untuk mengkaji formula terbaik bagi membanteras kegiatan mengatur perlawanan.

Minggu lalu, dalam satu laporan eksklusif Sukan NSTP mendedahkan seorang pemain profesional Malaysia - yang pernah beraksi pada kejohanan utama seperti Seluruh England dan Kejohanan Dunia - sedang disiasat Persekutuan Badminton Dunia (BWF) atas dakwaan mengatur perlawanan.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) kemudian mengesahkan bukan seorang tetapi dua pemain di luar badan induk itu digantung sementara daripada menyertai mana-mana kejohanan oleh BWF.

Mengulas lanjut, Jahaberdeen mengesahkan pihaknya akan menghantar seorang wakil iaitu Jadadish Chandra bagi menjadi pemerhati sepanjang sesi pendengaran kes membabitkan kedua-dua pemain berkenaan oleh BWF di Singapura pada Isnin dan Selasa ini.

"Beliau yang juga ahli dalam Jawatankuasa Peraturan dan Disiplin akan menjadi pemerhati dan sebagai wakil BAM. Ia bagi mendapatkan gambaran jelas terhadap keseluruhan kes ini," katanya.

290 dibaca
Berita Harian X