Ahad, 11 Februari 2018 | 11:42pm
PASUKAN badminton Indonesia muncul johan selepas menewaskan pasukan China pada perlawanan akhir lelaki di Stadium Sultan Abdul Halim, Jalan Suka Menanti. - Foto Amran Hamid

Indonesia juara Kejohanan BAC

 

ALOR SETAR: Indonesia muncul juara Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BAC) selepas mengalahkan China 3-1 dalam perlawanan akhir di Stadium Sultan Abdul Halim manakala skuad negara dan Korea Selatan berkongsi kedudukan tempat ketiga/keempat.

Ini adalah kali kedua berturut-turut Indonesia muncul juara di kejohanan sama, mengulangi pencapaian dua tahun lalu di Hyderabad, India ketika menumpaskan Jepun 3-2.

Menurut pemain perseorangan lelaki Indonesia, Jonatan Christie, lawannya Shi Yuqi seorang pemain hebat dan dia perlu menggunakan teknik permainan lebih pintar.

"Daripada segi kekuatan dan fizikal memang dia ada kelebihan. Sebenarnya saya turun tanpa sebarang tekanan namun di set pertama ia tidak menjadi seperti diharapkan. Saya berasa sangat sukar menandinginya. 

"Selepas itu barulah saya terfikir bahawa kami sama-sama muda dan mempunyai kekuatan sama sekali gus membuatkan saya bangkit semula," katanya.

Jonatan berjaya menghadiahkan mata pertama buat Indonesia selepas mengalahkan Shi Yuqi 21-16, 17-21, 18-21 dalam perlawanan selama satu jam 11 minit.

Mata kedua Indonesia diraih gandingan beregu pertama, Mohammad Ahsan-Angga Pratama selepas mereka tidak berdepan masalah menumpaskan He Jiting-Tan Qiang 21-19, 21-18.

Bagaimanapun China bangkit semula apabila Qiao Bin menumpaskan Anthony Sinisuka Ginting, 21-12, 11-21, 21-14 namun dia dilayangkan kad kuning kerana meraikan kemenangannya dengan melambung raket sehingga masuk ke kawasan pemain lawan.

Indonesia mengesahkan kemenangan mereka selepas gandingan beregu kedua, Rian Agung Saputro-Hendra Setiawan mengalahkan Han Chengkai-Zhou Haodong 21-14, 21-19.

Dalam aksi akhir wanita, Jepun berjaya membalas dendam pada kejohanan yang sama dua tahun lalu selepas mudah menumpaskan China 3-0.

Pemain nombor dua dunia, Akane Yamaguchi berjaya meraih mata pertama Jepun selepas mengalahkan Chen Yufei 21-16, 12-21, 21-14.    

Pemenang pingat emas Sukan Olimpik Rio 2016, Misaki Matsutomo-Ayaka Takahashi meletakkan negaranya mendahului 2-0 apabila mereka menang 21-13, 21-16 ke atas Du Yue-Li Yinhui.

Perseorangan kedua, Nozomi Okuhara mengesahkan kemenangan negara matahari terbit itu apabila menumpaskan He Bingjiao 19-21, 21-16, 21-10.

1805 dibaca
Berita Harian X