Sabtu, 13 Januari 2018 | 10:07pm
PEMAIN tenis Jerman, Angelique Kerber mengucup trofi kejuaraan selepas menewaskan pemain Australia, Ashley Barty di final Kejohanan Tenis Antarabangsa Sydney, hari ini. - Foto EPA-EFE

Kerber juara Antarabangsa Sydney

SYDNEY: Pemain Jerman, Angelique Kerber menewaskan Ashleigh Barty dari Australia straight set untuk menjuarai Kejohanan Tenis Antarabangsa Sydney, hari ini.

Kejayaan itu memberikan tonik terbaik buat Kerber menjelang saingan pembukaan Grand Slam pada Terbuka Australia, minggu depan.

Bekas pemain nombor satu dunia itu jelas bukan tandingan buat Barty apabila melakar kemenangan 6-4, 6-4 dalam aksi final.

Ia adalah gelaran pertama Kerber sejak menjuarai Terbuka Amerika Syarikat 2016 dan kemenangan keduanya ke atas Barty dalam tiga pertemuan.

Kerber yang memulakan saingan tahun lalu sebagai pemain nombor satu dunia sebelum menamatkan musim di kedudukan ke-22 meneruskan rentak cemerlangnya pada permulaan 2018 dan kekal tanpa kalah setakat ini.

"Saya mengharungi minggu yang hebat, saya bermain dengan baik. Aksi final menentang Ash tidak mudah tetapi saya mampu bermain dengan corak permainan saya pada detik penting.

"Jadi, saya sangat gembira dan bangga dapat meraih gelaran juara pertama untuk tahun 2018. Ini baru permulaan tahun tetapi saya fikir saya semakin hampir untuk mencapai tahap terbaik saya," kata Kerber. - AFP

145 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »