Khamis, 12 Oktober 2017 | 8:42pm
PEMAIN Badminton Remaja, Leong Jun Hao yakin skuad negara mampu melangkah ke final Kejohanan Remaja Dunia di Yogyakarta, Sabtu ini. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Malaysia ke separuh akhir Badminton Remaja Dunia

KUALA LUMPUR: Juara remaja Asia, Leong Jun Hao yakin Malaysia akan melangkah ke final Kejohanan Remaja Dunia di Yogyakarta, Sabtu ini.

Jun Hao, yang mengalami kecederaan sebelum ini, menunjukkan tiada tanda kekurangan apabila dia membantu pasukan campuran negara menundukkan India 3-0 pada suku akhir, hari ini.

Pemain berusia 18 tahun itu yang bermain dalam acara perseorangan lelaki apabila dihubungi berkata: "Saya percaya pasukan ini bersedia untuk bertemu sesiapa juga. Kami mempamer semangat yang tinggi menentang India hari ini.

"Ya, saya mempunyai masalah belakang, tapi saya tidak fikir mengenainya ketika di tengah gelanggang. Bagaimanapun kami mempunyai pakar fisioterapi di sini yang membantu kami menangani kecederaan."

Beregu campuran, Ng Eng Cheong-Tan Sueh Jeou menghadiahkan mata pertama negara dengan kemenangan 21-18, 21-10 ke atas Dhruv Kapila-UK Mithula.

Jun Hao kemudian menambah satu lagi mata untuk terus mendahului apabila mudah menewaskan Lakshya Sen 21-13, 21-15 sebelum pemenang pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur, Goh Jin Wei memastikan kemenangan negara apabila menundukkan Ashmita Chaliha 21-12, 21-12.

Malaysia, yang menduduki tempat kedua di belakang China tahun lalu, akan bertemu pilihan utama, Korea Selatan pada separuh akhir esok.

"Saya rasa pasukan ini mempunyai sesuatu yang diperlukan untuk melangkah ke final. Korea pasukan yang kuat tapi saya yakin kami boleh kalahkan mereka," kata Jun Hao.

Satu lagi perlawanan separuh akhir mempertemukan Jepun dengan China.

936 dibaca
Berita Harian X