Khamis, 12 Oktober 2017 | 5:46pm
VOUNTUS Indra Mawan dipilih sebagai jurulatih baharu beregu lelaki menggantikan Jeremy Gan. - Foto Hasriyasyah Sabudin

BAM pertahan pemilihan Vountus

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mempertahankan pemilihan Vountus Indra Mawan Saniru sebagai jurulatih baharu beregu lelaki menggantikan Jeremy Gan.

Pengurus Besar BAM, Michelle Chai berkata, pihaknya percaya Vountus mampu menjalankan tugas dengan berkesan walaupun pencapaiannya ketika menjadi pemain dan usianya yang masih muda menjadi persoalan.

"Beliau (Vountus) layak dihormati, usianya (28 tahun) bukan satu faktor penghalang. Kita tengok dalam bidang pengurusan sukan lain seperti bola sepak. Andre Villas Boas menjadi pengurus Chelsea pada usia 34 tahun. Paling penting ialah buktikan kemampuan anda di dalam gelanggang, tidak kira sesiapa pun," katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM) hari ini.

Menurutnya, seseorang jurulatih yang mempunyai nama juga bukan jaminan mampu melahirkan dan membentuk pemain yang mantap.

"Soon Kit sudah meneliti beberapa calon dan menilai Vountus dari segi keperluan untuk bahagian beregu lelaki. Kita sudah berbincang di peringkat pengurusan dan membentangkan keperluan sekarang. Buat masa ini beliau calon terbaik. Seperti biasa kita akan beri tempoh percubaan selama tiga bulan sebelum memberi kontrak seperti biasa (dua tahun).

"Sama seperti jurulatih lain, beliau juga akan ditetapkan indeks petunjuk prestasi (KPI) dan kita akan menilai prestasinya," katanya.

Dalam pada itu, Michelle mengakui Vountus mempunyai kekuatan tersendiri termasuk pengalamannya melatih pemain di Eropah selain diyakini mampu bekerjasama dengan pemain muda.

"Beliau mempunyai sijil sains sukan tahap tiga dan dari segi pakej memang sesuai dengan keperluan semasa. Saya rasa kami bukan mengambil risiko, kita sudah menilai semua calon dan bukan hendak cakap beliau yang terbaik. Semuanya berdasarkan keperluan masa sekarang dan apa yang kita mahu capai pada masa akan datang.

"Kita tidak boleh bandingkan Ferrari atau Mercedes lebih bagus, kita perlu tengok dari segi keperluan. Malaysia sangat bertuah mempunyai jurulatih berkaliber tapi kita menimbang dari segi aspek sains sukan. Presiden (Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria) juga mengakui sains sukan mampu meningkatkan potensi pemain kita," katanya.

Ujar Michelle, corak latihan badminton tradisional hanya menumpukan latihan di dalam gelanggang saja, tetapi di peringkat antarabangsa sains sukan menjadi keutamaan dengan menggunakan teknologi, penganalisa prestasi dan sebagainya.

"Beliau menjadi jurulatih kelab di Belanda sejak Februari lalu. Beliau juga sudah menghadiri beberapa kursus sains sukan selepas menggantung raket pada 2014," katanya yang mengesahkan Vountus akan melapor diri bertugas, Ahad ini.

1071 dibaca
Berita Harian X