Rabu, 11 Oktober 2017 | 10:27pm
PENGURUS Besar BAM, Michelle Chai akan umum jurulatih baru beregu lelaki, esok - Foto Luqman Hakim Zubir

Pengganti Jeremy diketahui esok

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akan mengumumkan jurulatih baru beregu lelaki esok sebagai pengganti Jeremy Gan yang meletak jawatan.

Menurut Pengurus Besar BAM, Michelle Chai mereka akan menghantar kenyataan media mengenai siapa yang akan menjadi ahli keluarga baru badan induk itu sekali gus menjadi pembantu kepada ketua jurulatih beregu lelaki, Cheah Soon Kit.

"Kami akan cuba menghantar kenyataan media itu secepat mungkin dan perkara ini tidak dibawa kepada Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) seperti dalam laporan sebelum ini," katanya hari ini.

Jelasnya, C&T tidak akan mengadakan sebarang mesyuarat dalam tempoh terdekat untuk membincangkan siapa akan diserap masuk dalam bahagian beregu lelaki.

"Sebenarnya kelima-lima ketua jurulatih akan memberi laporan terus kepada Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria iaitu pengerusi C&T. Ini bukan bermaksud C&T yang membuat keputusan, cuma laporan ketua jurulatih memang akan disampaikan terus kepada pengerusi.

"Kami tidak mahu semua pihak tersalah anggap mengenai mesyuarat C&T. Memang tidak ada sebarang mesyuarat jawatankuasa berkenaan hari ini mahupun esok. Esok kita akan mengumumkan mengenai jurulatih baru ini," kata Michelle.

Semalam Soon Kit mengakui tiga nama sudah disenarai pendek sebagai calon bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Jeremy.

Beliau berkata, tiga nama itu sudah diserahkan kepada pihak pengurusan BAM untuk dipanggil menghadiri sesi temuduga dalam masa terdekat.

Walaupun masih berahsia mengenai calon yang disenaraikan, namun difahamkan tiga bekas pemain beregu kebangsaan, Lee Wan Wah, Chew Choon Eng dan Chan Chong Ming berada dalam radar BAM.

Jeremy menghantar surat peletakan jawatan hujung bulan lalu dengan notis tiga bulan.

303 dibaca
Berita Harian X