Rabu, 11 Oktober 2017 | 10:00pm
AKSI tidak konsisten ratu skuasy negara Nicol David jadi amaran buat SRAM.

SRAM sedar kemerosotan Nicol

KEKALAHAN kedua Nicol David kepada lawan dari Asia pada Terbuka Amerika Syarikat semalam menjadi peringatan amaran buat Persatuan Skuasy Malaysia (SRAM) menjelang dua temasya utama tahun depan.

Jika sebelum ini ramai menjangkakan Nicol akan mudah mempertahankan pingat emas pada Sukan Asia 2018 di Indonesia, kini situasi sudah berubah dengan pemain Hong Kong, Annie Au semakin meningkat apabila berjaya menundukkan Nicol buat kali pertama.

Sukan Komanwel Gold Coast tahun depan, yang mana Nicol turun dengan misi mempertahankan kejuaraan, dilihat lebih sukar buat Nicol dengan pesaing seperti Laura Massaro dan Sarah-Jane Perry dari England dan pemain New Zealand, Joelle King pencabar utama bagi saingan pemburuan pingat emas perseorangan wanita.

Pengarah Kejurulatihan SRAM Mejar (B) S Maniam berkata, Nicol, 34, perlu bertahan saat diuji sebelum boleh mendapatkan semula prestasinya yang sebelum ini memenangi 81 gelaran Jelajah PSA sepanjang kariernya.

"Saya menipu jika saya mengatakan kami tidak bimbang terhadap Nicol," kata Maniam hari ini.

"Kami menjangkakan akan ada saat seperti ini tapi dia perlu mengharungi cabaran itu dan terus berusaha lebih gigih.

"Kita perlu ambil perhatian hakikatnya setiap pemain akan cuba mengatasinya dan dia perlu mengambil pengajaran daripada ini dan meneruskannya."

Harapan pingat emas Malaysia dalam skuasy di Gold Coast dan Indonesia bergantung sepenuhnya kepada Nicol yang kini berada di ranking keenam dunia.

332 dibaca
Berita Harian X