Selasa, 10 Oktober 2017 | 9:04pm
PEMAIN tenis Australia, Nick Kyrgios bertindak meninggalkan gelanggang sekali gus diejek penonton pada pertengahan perlawanan pembukaannya di Masters Shanghai hari ini, dua hari selepas kecewa pada final Terbuka China. - Foto AFP

Kyrgios buat hal lagi

SHANGHAI: Pemain Australia, Nick Kyrgios bertindak meninggalkan gelanggang sekali gus diejek penonton pada pertengahan perlawanan pembukaannya di Masters Shanghai hari ini, dua hari selepas kecewa pada final Terbuka China.

Pemain berumur 22 tahun itu berang dan "muak dengan tempat ini" dan tiba-tiba mahu menarik diri serta-merta selepas tewas 5/7 pada tiebreak set pertama di tangan pemain Amerika Syarikat, Steve Johnson, sesudah ditolak mata bagi perlawanan kedua berturut-turut.

Ahad lalu, Kyrgios turut dikenakan penalti mata selain bertelagah dengan pengadil ketika tewas 2-6, 1-6 kepada Rafael Nadal di Beijing.

Seorang anggota pasukan kejurulatih Kyrgios memberitahu pemain ranking ke-21 dunia itu keluar dari gelanggang kerana cedera bahu.

Pemain itu yang terkenal dengan sikap baran itu kelihatan tidak selesa pada awal permainan menentang pemain bukan pilihan Johnson.

Kyrgios bagaimanapun kelihatan tidak terganggu dengan kecederaan itu ketika tiebreak set pertama tetapi seperti di Beijing, sikap barannya kembali selepas dia berang dengan penonton dan pengadil.

"Apa yang berlaku di sini?" katanya sebelum merungut: "Inilah sebabnya saya tidak sepatutnya ke sini."

Kyrgios kelihatan menyalahkan pengadil kerana beliau gagal mengawal penonton dan tambah parah apabila dia menerima penalti satu mata.

"Apa yang beliau lakukan? Adakah ini normal?" tanya Kyrgios kepada seseorang di kawasan petugas rasmi di arena.

"Penganjuran yang buruk sekali lagi," kata Kyrgios sambil berkata: "Muak saya dengan tempat ini." - AFP

451 dibaca
Berita Harian X