Sabtu, 12 Ogos 2017 | 5:28pm
PEMAIN bergu campuran badminton Sukan SEA KL2017 negara, Chan Peng Soon (kiri) dan Cheah Yee See (dua kanan) ketika sesi latihan persiapan Sukan SEA KL2017 di Akademi Badminton Malaysia. - Foto Owee Ah Chun.

Peng Soon tidak sabar turun ke gelanggang

KUALA LUMPUR: Pemain beregu campuran negara, Chan Peng Soon optimis dia dan gandingannya, Cheah Yee See mampu menjelmakan kejutan buat kontinjen Malaysia menjelang Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) yang bermula 19 Ogos ini.

Selepas kejayaan menjulang trofi Terbuka Russia bulan lalu, Peng Soon yang juga pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016 mengakui dia kini semakin serasi berpasangan dengan Yee See.

Peng Soon kini memainkan peranan sebagai mentor kepada pemain muda selepas selepas pasangan tetapnya, Goh Liu Ying masih dalam proses pemulihan susulan kecederaan bahu.

Sebelum menjuarai Terbuka Russia, Peng Soon turut berpasangan dengan Peck Yen Wei dan mereka berjaya mara ke separuh akhir Terbuka Indonesia, Jun lalu.

"Sudah pasti kejayaan di Terbuka Russia meningkatkan lagi semangat kami untuk menghadapi Sukan SEA kali ini. Kami akan turun tanpa sebarang tekanan.

"Siapa yang tidak mahu memenangi pingat...jadi, saya dan Yee See pastinya akan memberikan yang terbaik untuk menyumbang sesuatu kepada kontinjen Malaysia kali ini.

"Kombinasi kami juga semakin baik dan saya sudah tidak sabar untuk memulakan saingan Sukan SEA. Diharapkan kejayaan akan memihak kepada kami," kata Peng Soon.

Sandaran utama Malaysia dalam acara beregu campuran diletakkan di atas bahu Goh Soon Huat-Shevon Lai Jamie.

Badminton akan membuka tirai saingannya pada 22 Ogos ini di Arena Axiata bermula dengan acara berpasukan.

Dalam acara berpasukan, skuad lelaki negara akan membuka kempen menentang Laos manakala skuad wanita bertemu Myanmar.

Berita Harian X