Jumaat, 11 Ogos 2017 | 10:24pm
PEMAIN perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei. - Foto Osman Adnan

Kecederaan Jin Wei makin pulih

KUALA LUMPUR: Busanan Ongbamrungphan dan Nicthaon Jindapol mungkin berada dalam kegelisahan apabila jaguh perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei dilaporkan semakin pulih dari kecederaan buku lali yang dialaminya bulan lalu di Kejohanan Remaja Asia.

Jin Wei sudah bersedia membuat penampilan kedua di Sukan SEA dan bakal memberi tentangan sengit kepada kedua-dua wakil Thailand itu.

Pemain berusia 17 tahun itu sudah menunjukkan perkembangan positif apabila mula turun menjalani latihan ringan di dalam gelanggang.

Begitupun, dia mengakui masih terasa sakit ketika menjalani latihan, namun tidak bimbang dengan keadaannya kerana menganggap ia perkara biasa.

"Buat masa sekarang keadaan kaki saya sudah semakin baik berbanding sebelum ini. Saya juga sudah mula menjalani latihan ringan di gelanggang dan dapat rasakan kecederaan itu semakin pulih," kata pemenang pingat gangsa Sukan Singapura dua tahun lalu.

"Apa yang boleh saya katakan peluang untuk beraksi di Sukan SEA adalah cerah," katanya yang akan mengambil bahagian dalam acara perseorangan wanita bersama Soniia Cheah.

"Sekiranya saya boleh beraksi di Sukan SEA, saya sudah bersedia dan yakin untuk tampilkan aksi terbaik bagi membantu pasukan negara mencatat keputusan membanggakan di laman sendiri," kata Jin Wei.

277 dibaca
Berita Harian X